Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Monday, March 14, 2011

Cerita Buatmu( Cerita 2 Part 1)


Bertemu Di Stesen Keretapi




Kiyosu Waka:

                   Baru mula sekolah tinggi,aku dah kecewa bercinta.Ramai pelajar perempuan menengah rendah dari bandar cuba terjun dari bumbung sekolah.Ini kerana mereka berasa terdesak setelah dipaksa ke sekolah biarpun sering ponteng.Untuk mengelakkan masalah ini,ramai ibu bapa cuba mencari sekolah yang tiada masalah buli dan disiplin.Tapi,ada ke sekolah macam tu?

                   Sekolah memang tak seronok.

                   Tahun 1,sekolah tinggi,bulan Jun.

                   Kenapalah awal-awal begini sudah ada banyak masalah…

                   “Yoshitake…Yoshitake!”pengumuman yang keluar dari corong pembesar suara di stesen keretapi mengejutkan aku yang sedang mengelamun sendirian.Aku pantas berlari masuk ke dalam perut keretapi yang selalu kunaiki untuk ke sekolah itu.Tetapi,di stesen pertukaran aku melompat masuk ke dalam keretapi lain.

                   Di dalam itu,tiada orang lain yang pakai uniform sekolah.Keadaan di situ juga agak lengang.Aku mencari tempat duduk yang sedikit tersorok.Seronok juga dapat buat sesuatu yang bukan rutin harian(ponteng sekolah).Aku tersenyum sendirian.

                   ‘Oh ya…ada bekal makanan.’Baru tersedar yang aku ada membawa bekal makanan (untuk dimakan di sekolah sebenarnya).

                   Apa salahnya kalau makan sekarang.Bukannya aku akan ke sekolah pun.Aku buka bekal.Nampak sedap.Tanpa berfikir panjang,terus sahaja aku mula menyuap makanan ke mulut.Seronoknya dapat tengok pokok-pokok yang rimbun sambil makan.Bukan setiap hari aku dapat peluang begini.

                   “Ah…seronoknya,”fikirku dalam hati sambil terus mengunyah makanan.Kalau hari-hari dapat peluang untuk makan macam ni alangkah bagusnya.

                   “Hei!” sedang enak menyuap bebola nasi ke mulut aku terdengar seperti seseorang menegurku.Dengan tangan yang masih memegang penyepit makanan,aku toleh ke kiri.

                   “Kiyosu Waka?”seorang lelaki muda awal 20-an berpakaian santai sedang memerhatikan aku.Tergambar riak terkejut yang amat sangat di wajahnya.Nasi yang berada di hadapanku tidak jadi kusuap ke mulut.Aku telan air liur yang terasa kesat.

                   Dia Inazawa,seorang guru praktikal.Aku telah ditemui di celah-celah pokok yang banyak.

                   “Apa yang awak buat kat sini?!”dia menyoalku dengan nada terkejut.Soalan yang sememangnya sudah kujangkakan.Tetapi reaksi terkejutnya sedikit menjengkelkan hatiku.Seolah-olah dia terserempak dengan aku yang baru saja selesai merompak bank ataupun membunuh seseorang.

                   “Kan awak sepatutnya ke sekolah!”nada suaranya masih tidak berubah.Aku hanya memandangnya dengan mata terkebil-kebil.

                   “Bukan hari ni cuti umum ke?”balasku bersahaja sambil menggaru kepala yang tidak gatal.Jawapan yang bodoh untuk soalan yang bodoh.Kalau sudah tahu,buat apa sibuk nak bertanya lagi.

                   “Jangan nak mengada!”pintas guru praktikal itu sedikit geram.Aku mencebik bibir.Apa pula haknya untuk berasa geram denganku?

                   “Tapi cikgu pun sama!Nama je cikgu!”aku memulangkan paku buah keras balik kepadanya.Kalau dia berada di sini bukankah itu bermaksud dia pun ponteng dari menghadiri kuliah di universiti?

                   “Tapi saya belum jadi cikgu sebenar lagi.Nakal betul awak ni!”balasnya pula.Aku pura-pura tidak dengar dan sambung kembali menikmati bekal yang kubawa.

                   “Kenapa awak bawa bekal ke mari?”bagaikan bertih jagung mulutnya 
menyoalku.Aku berhenti menyuap kemudian menjeling ke arahnya dengan perasaan geram terbuku di hati.Sibuk betul la orang tua ni!

                   “Cikgu tak nak blah ke?!”dengan nada bersahaja aku menyoalnya dengan soalan yang boleh disifatkan sebagai kurang ajar itu.

                   “Jangan biadab!”dia menahan geram dengan sikapku.Senang hati aku dapat buat dia marah.Padan muka!Yalah,yang dia sibuk-sibuk nak jaga tepi kain aku kenapa?Macamlah dah takde kerja lain yang lebih berfaedah.Dulu,dia guru bahasa Inggeris pelatih di sekolah aku.Walaupun begitu,tidak  bermakna dia boleh sesuka hati mencampuri urusan hidupku.

                   Aku menjauhkan diri darinya dan beredar ke kerusi kosong yang lain.Melarikan diri.Tapi kenapa pula nak larikan diri dari orang yang kita tidak rapat?Susah juga nak menjawabnya.

                   Cikgu Inazawa masih lagi mengekoriku.Seperti pacat sahaja lagaknya.Riak wajahnya kelihatan tenang kali ini.Tiada lagi riak terkejut mahupun marah.Apa lagi yang dia mahukan dari aku?

                   “Lebih baik awak tukar keretapi di stesen lepas ni,”tuturnya lembut seperti mahu memujuk.Barulah aku faham bahawa dia masih lagi mengharapkan aku menghadiri sekolah hari ini.Aku mengalihkan pandangan ke arah tingkap.

                   “Kenapa pulak?”soalku tanpa memandangku.Adakan dia fikir dia boleh mengubah keputusanku dengan begitu mudah?Oh…tidak sama sekali!

                   “Tak naklah!”Ada ketegasan dalam nada suaraku di situ.Aku memang tidak mahu kembali ke sekolah pun.Katalah apa sahaja aku sudah tidak ambil pusing.

                   “Cukuplah!Cuba dengar cakap saya!Saya dah tak boleh bersabar dengan awak ni!”Cikgu Inazawa nampaknya sudah tidak boleh mengawal perasaan geramnya terhadap kedegilanku lagi.Dia mendekatkan wajahnya dengan aku.Seperti along yang mahu memaksa orang membayar hutang sahaja lagaknya ketika itu.Aku bagaikan ingin menjerit perkataan ‘tidak mahu’ kepadanya.

                   “Saya ada alasan untuk ke sini!”malangnya itu pula yang meluncur keluar dari mulutku.Sebab tiba-tiba aku terfikir,kalau aku berlembut dengannya pasti dia juga akan berlembut dengan aku.Dan pasti dia tidak akan memaksa atau memujukku untuk kembali ke sekolah lagi.

                   “Benci.Saya tak suka sekolah…,”ujarku dengan nada perlahan.Aku benci semuanya tentang sekolah sekurang-kurangnya buat masa ini.

                   “Benci semuanya…”sambungku lagi sambil tunduk menekur lantai.Cikgu Inazawa kelihatan tergamam seketika.Mungkin dia tidak menjangkakan reaksi sebegitu dariku setelah aku berkeras dengannya tadi.

                   “Waka…,”suara itu kembali terngiang-ngiang di telingaku.Suara yang aku pernah berharap untuk mendengarnya selalu suatu masa dahulu.

                   “Saya suka awak Waka….”

                   Aku masih ingat dengan jelas setiap butir ayat yang diucapkannya kepadaku.Alangkah indahnya saat-saat itu.Perasaanku terasa berbunga-bunga.Sekiranya boleh mahu sahaja aku merakamkan detik itu biar menjadi kenangan terindah buatku selamanya.

                   “Berusahalah untuk peperiksaan.Lagi setahun,dah tentu awak boleh masuk sekolah A.” Lelaki itu.Dia yang pernah memberi semangat untukku semasa peperiksaan akhir hampir tiba.

                   “Saya ada sesuatu untuk awak.”Setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya bagaikan menjanjikan impian yang indah-indah untukku sekaligus membakar semangatku untuk berusaha tanpa jemu apabila peperiksaan akhir semakin menjelang.

                   Aku berusaha keras untuk masuk ke sekolah tinggi yang sama dengannya.Walaupun aku tahu yang aku ni bukanlah seorang pelajar yang pandai,aku tekun berusaha.Sebab dia telah meniupkan seribu satu impian dan harapan ke dalam jiwaku.Aku ingin sekali menggapai impian itu bersamanya tetapi dia berada jauh nun di seberang sana.Jadi pada masa itu aku betul-betul percaya yang jika aku berusaha lebih sikit pasti aku akan sampai ke sana jua.Ke tempat Senior Kisogawa.

                   Tapi,apabila aku menjejakkan kaki ke seberang,dia tidak ada di situ seperti yang dijanjikan.Dia tidak menunggu untuk menyambut kedatangan aku seperti yang aku harap-harapkan.

                   “Betul ke saya ada cakap?Tak sedar pun.”Itu jawapannya ketika aku bertanyakan tentang luahan perasaannya kepadaku dahulu.Dia berlagak seperti tidak ada apa-apa yang pernah berlaku di antara kami.

                   “Hmm…ini teman wanita saya,”katanya dengan bangga sambil memegang erat tangan seorang pelajar perempuan yang berada di sampingnya sedari tadi.Tiada apa lagi yang lebih mengecewakan aku selain dari diperkenalkan dengan seseorang yang telah berjaya mengambil alih kedudukan yang sepatutnya diberikan kepadaku.Tidak ada secebis pun perasaan bersalah atau kesal di matanya kala itu.

                   “Selamat berkenalan,”gadis yang jelasnya lebih cantik dari aku itu kelihatan gembira sekali.Bukankah aku yang sepatutnya berada di samping senior Kisogawa pada waktu itu?Bukankan aku yang sewajarnya tersenyum penuh gembira?

                   “Saya anggap dia cam adik perempuan je,”ketika senior Kisogawa mengucapkan itu,hatiku terasa bagaikan kaca yang hancur berderai.Serpihan-serpihan itu sudah tidak mampu untuk dicantumkan kembali.Aku benar-benar kecewa.Selepas itu,sudah tentulah aku hilang sebab untuk ke sekolah lagi.

                   “Saya dah tak nak ke sekolah lagi,”ujarku seraya menelungkupkan kepala ke atas meja yang berada di hadapan.Semuanya sudah berakhir.Tiada lagi sebab untuk aku ke sekolah.Cikgu Inazawa seakan terkedu.Dia sedang memikirkan sesuatu dengan serius.Kerisauan yang amat sangat terlukis di wajahnya.Entahlah apa yang difikirkan aku malas nak ambil tahu.

                       “Siapa…”

                   “Ini takde kena mengena dengan cikgu!”aku memintas kata-katannya sebelum dia sempat menyudahkan ayat itu.Sifat suka menyibuk dia sudah kembali.Kalau aku beritahu pun,apa yang dia dapat buat?

                   “Saya tanya betul-betul ni,awak nak balas dendam ke?!”tanyanya dengan nada suara kuat.Sibuk betul!

                   “Memang saya nak balas dendam!”dengan nada kuat juga aku menjawab soalannya.Cikgu Inazawa hilang kata-kata .Padan muka!Ingat dia sorang je yang boleh naik angin.Dia belum tengok lagi angin puting beliung aku.Teringatkan senior Kisogawa dan kata-kata manisnya lagilah aku bertambah geram.Kalau ada peluang memang aku ingin balas dendam.Dia cakap dia suka aku…

                   Maksud suka tu,adakah macam suka adik sendiri?Begitukah pandangannya terhadap aku?Sekadar seorang adik?Jawablah!!!Kalau dia ada di sini pasti aku akan menjerit sekuat hati di hadapan mukanya.Biar dia pekak sebentar.Aku mahukan penjelasan.Lebih penting lagi aku mahu dia diadili di mahkamah dunia seadil-adilnya.

                   Mengapa hanya aku seorang sahaja yang diadili?Aku seorang saja yang dipaksa untuk menanggung semua kesusahan ini.Kenapa bukan dia?Adakah semuanya salah aku yang terlalu menggantung harap kepadanya?Aku hanya mahukan sedikit kebahagiaan.

                   “Di mana agaknya kebahagiaan sebenar…”aku berbicara pada diri sendiri.Pembesar suara di dalam kertapi berbunyi tiba-tiba.Memaklumkan yang kami akan sampai ke Stesen Masaki sebentar lagi.

                   “Baiklah,saya faham!Mari saya temankan.”Cikgu Inazawa tiba-tiba bersuara.Tersentak aku mendengar keputusan drastiknya itu.Apahal pula dengan dia ni?Terkena sampuk ke hapa…

                   “Jom enjoy sama-sama sampai awak puas hati.”Dia menambah.Lagi bingung aku dibuatnya.Adakah ini lelaki sama yang beria-ria memarahiku tadi?Kenapa pula dia ingin menemankan aku untuk ponteng sekolah?Tiada angin tiada ribut,tiba-tiba saja moodnya berubah baik.Eh?Pelik ni.

                   “Dalam keadaan macam ni,sebagai cikgu saya tak boleh biarkan je,”tuturnya penuh prihatin.Sekelip mata dia sudah bertukar watak menjadi guru kaunseling pula.

                   “Tapi cikgu belum start mengajar,kiranya budak universiti biasa je.Eksyen pulak!”Sempat lagi aku mencari peluang untuk mengutuknya.
                  
                   “Diamlah!”balasnya ringkas.Tidak peduli dengan kutukanku itu.Kemudian dia mengibas-ngibas tempat duduk kosong di sebelahku dengan tangan seolah-olah sedang membersihkannya.

                   “Bersihkan sikit kerusi ni.”Dia bercakap seorang diri.Dia ni seorang pembersih psiko ke?Selepas itu dengan selamba dia duduk di sebelahku walaupun tidak dijemput.Aku ingin menghalaunya tetapi dia memejamkan mata dan berlagak kononnya sedang tidur.

                   “Eh?Kenapa…,”akhirnya aku buntu sendiri.Dan keretapi terus meluncur laju di atas landasannya.



Live,Laugh,Die Emotionally!

2 comments:

^^nu[dd]yra^^ said...

ttiber terbacer yg nih pg td,,,nak g sbg bacer yg part 2 lak....citer nih ko buat sdiri ker aper??

Sarah Sayuri Hartnett said...

@nuddyra:thanks baca dear...tulis sendiri tp bukan idea asal aku...heheheh...

;DD

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat