“Bye bye!”dan dengan satu ucapan itu,Kasadera melangkah meninggalkan aku yang berdiri mematung di situ.Entah kenapa pula sendi-sendiku terasa bagaikan dipaku.Aku ingin sekali menjerit menghalang Kasadera tetapi mulutku terkunci.Eh?Aku baru sahaja biarkan gadis idamanku berlalu pergi tanpa sebarang usaha untuk menahannya.Apa pun tak berlaku?Aku masih berdiri kaku di situ.
“Ah,sekejap Atsuta!”dua orang pelajar perempuan yang sekelas denganku tiba-tiba muncul dan menghampiriku tanpa perlu diundang.
“Apsal kaku je kat situ?”seorang dari mereka menegurku.Entahlah siapa,aku memang tidak berniat untuk ambil tahu.Jiwaku terasa di awang-awangan kala itu.Dapat aku rasakan mukaku yang pucat seperti mayat.
“Atsuta,butang baju awak nak tercabutlah!Butang kedua pulak tu!”pelajar perempuan yang mengikat rambutnya bersuara dengan nada seperti teruja.Dia kemudian mengambil butang itu dari bajuku sebelum sempat aku berbuat apa-apa.
“Bagi saya jelah ya!”mereka berdua pun beredar dari situ selepas ‘mencuri’ butang keduaku.Hanya selepas itu barulah aku seperti tersedar dari dipukau dan cuba menahan mereka tetapi telah terlambat.Segalanya dah tamat.Apa pun tak berlaku antara aku dan Kasadera.Butang pula dah diambil orang.Di luar sedar aku melepaskan sebuah keluhan kesal.Atsuta Youji,pelajar yang selalu bernasib malang.
“Atsuta,jom balik!”itu suara Matsuo.
“Ah,butang kau dah takde!”reaksi terkejut dari Suzuki yang sememangnya sudah kujangka tetapi tidak pula kuharapkan.Sikap suka ambil tahu Suzuki melebihi pelajar perempuan di kelas kami.
“Apa?Kasadera ambik ke?”Matsuo mula menyoal tentang kehilangan butangku yang disifatkannya sebagai satu misteri nusantara itu.Aku tidak berminat untuk menjawab soalannya dan terus membisukan diri.
“Kau tak dapat apa-apa dari dia ke?”soalan dari Suzuki juga kubiarkan terbang dibawa angin lalu.Rasanya aku sudah tidak ada jiwa untuk menjelaskan apa-apa buat masa sekarang.
“Kesiannya…,”Matsuo menambah setelah melihatkan aku yang tidak memberi apa-apa respons.Sekadar mempamerkan muka seposen yang tidak laku.
“Butang kedua yang paling penting pun boleh kena ‘rampas’ orang lain!”Suzuki membuat kesimpulan sendiri.Kesimpulannya mengena kali ini.Kemudian mereka berdua ketawa terbahak-bahak.
“Hey,bukan macam tulah!”aku membuka mulut akhirnya setelah tidak tahan lagi dengan gelagat dua orang rakanku itu.Sakit hati aku dibuatnya.Bukan macam tu kan?Mindaku mula menyoal diri sendiri.Dalam fikiranku sekarang,hanya wajah Kasadera yang sedang ketawa terbayang-bayang.Bagaikan ternampak-nampak senyumannya yang mahal itu.
Dah habis belajar sekalipun,aku masih berharap dapat tengok gelak ketawa dia.Macam tadi.Butang aku.Aku harap dapat beri kepadanya.Aku harap dia akan senyum dengan gembira bila dapatnya.
Tak mungkin!Tak mungkin semuanya akan berakhir macam ni saja.Aku perlu buat sesuatu.Aku kumpul sisa keberanian yang ada.Di luar sedar,aku sudahpun meluru pergi untuk mencari Kasadera.Harap-harap dia belum jauh lagi.
“Atsuta?”suara Suzuki dan Matsuo kedengaran sayup-sayup di belakang.Tentu mereka menyangka yang aku ni sudah hilang akal.Tiba-tiba sahaja berlari tanpa sebarang sebab yang jelas.Semasa sedang berlari pun,fikiranku masih merayap memikirkan Kasadera.Butang siapa yang dia nak sebenarnya?Kalau aku bagi dia butang,adakah dia akan faham itu tanda aku ingin berjumpanya lagi?Takpun,anggap sahajalah sebagai hadiah perpisahan.Sebab aku nak sangat bagi kepadanya.
“Kasadera!”aku melaungkan nama itu agak kuat sebaik sahaja terpandang kelibatnya yang sedang mengatur langkah tidak jauh dari bangunan sekolah.Mujurlah dia belum pulang lagi.Kasadera pantas berpaling dan kelihatan sedikit kaget melihat aku di situ.
“Aaa…butang…butang kedua…,”suaraku tersekat-sekat dek nafas yang tidak teratur akibat penat berlari yang belum hilang.Aku menghela nafas dalam-dalam.Cuba mengawal diri.
“Saya nak bagi kat awak!”dalam sekali nafas sahaja aku menuturkannya.Kasadera kelihatan tergamam.Mungkin dia sedang cuba mencerna maksud kata-kataku.
“Saya nak beri pada Kasadera!”aku ulang sekali lagi supaya dia dapat menangkap maksudnya.Dia menatapku dengan riak wajah hairan.
“Tapi…butang tu dah takde kan?”Kasadera bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.Kata-katanya bagaikan halilintar menyambarku.Aku mula menggelabah.Aduh,macammana boleh terlupa pula ni!?
“Ah,yalah…saya lupa.”Aku malu sendiri dan cuba memikirkan sesuatu.Tak boleh jadi ni.Aku belek-belek lengan baju dan tiba-tiba terpandang butang di situ.Ini pun bolehlah.
“Jadi…yang ni…,”aku tunjukkan lengan baju kepada Kasadera.
“Butang lengan.Anggaplah ia butang kedua!”bersungguh-sungguh benar nada suara aku ketika itu.
“Tapi ni…bukan yang nak tercabut hari tu?”soalan Kasadera membuatkan peristiwa dalam bas tempohari bermain semula di tubir mataku.
“Ah,saya ada dua pasang uniform,”balasku jujur.Aku memang benar-benar berharap agar Kasadera akan menerima butang ini biarpun ianya hanyalah butang lengan baju.Apa yang penting aku memang betul-betul ikhlas ingin memberinya.
“Hmm…begitu,”itu sahaja reaksi darinya sebelum dia membisu buat seketika.Berfikir mungkin.Dalam hati,aku tertanya-tanya,adakah dia akan terima?
“Atsuta ada bawa ke?”Kasadera merujuk kepada butang di uniformku yang satu lagi.Entah untuk apa soalannya itu tapi aku tetap menjawab sebaik mungkin.
“Hmm…kat rumah.”Apa kejadahnya aku nak angkut uniform tu ke sana ke mari?
“Baiklah,saya terima,”putus Kasadera akhirnya sekaligus mengakhiri penantian penuh penyeksaan yang aku rasakan.Keputusan yang kutunggu-tunggu.Jawapan yang amat menyenangkan hati.Mahu sahaja aku melompat-lompat di situ lantas berlari keliling padang sekolah sebanyak 5 kali pusingan seperti hukuman yang selalu diberikan ketika matapelajaran pendidikan jasmani.
“Tapi…saya teringin nak ada sepasang,”ujar Kasadera selepas aku menyerahkan butang tersebut kepadanya.Fahamlah aku kini tujuan dia bertanyakan uniformku yang satu lagi itu.
“Terima kasih.Saya suka sangat!”itulah yang dikatakan Kasadera sebelum berlalu pergi.Dia kelihatan teruja namun tentunya tidak seteruja aku.Ciri-ciri cool…aku memang takde.Saat itu juga aku tersedar bahawa aku ini tidak memiliki waima satu pun sifat cool seperti yang disukai oleh Kasadera.Namun,satu yang aku betul-betul pasti adalah kelibat dua orang rakan baikku,Matsuo dan Suzuki yang sedang mengintip aku di sebalik rimbunan semak di seberang jalan sedari tadi.Mungkin mereka berdua sudah tidak dapat mengawal rasa ingin tahu lagi.
Tetapi,semua itu sudah tidak penting lagi buatku.Kerana Kasadera sudahpun menerima butang kedua itu sekaligus menerima aku di dalam hidupnya.Selepas itu,kami memasuki sekolah yang berlainan.Rutin harianku berjalan seperti biasa.Masa lapangku banyak dihabiskan dengan membantu di kedai ikan, namun,sudah pastinya aku memperuntukkan masa tambahan khas untuk diluangkan bersama Kasadera.
Live,Laugh,Die Emotionally!
No comments:
Post a Comment