Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Wednesday, April 17, 2013

Excerpt For Dear Mr Salvatore Part 12.




 
Bunyi adalah gelombang yang terhasil dari getaran. Partikelnya bergerak melalui udara. Teori fizik mengatakan bunyi tidak boleh didengari dalam tempat yang tidak ada udara. Vakum. Contohnya di angkasa lepas. Di luar angkasa sana, sekalipun sebuah kapal angkasa sebesar Bumi meletup, tiada segaris bunyi pun yang akan kau dengar walau kau berada di sebelahnya. Semuanya adalah sunyi. Sepi. Sebeku langit angkasa yang hitam dan gelap.

Ada satu teori fizik juga menyebut bahawa dalam berjuta bunyi yang terhasil, yang ada antaranya kau tidak sempat dengar atau tahu, cuma ada satu bunyi yang getarannya akan sampai ke hati kau melalui telinga. Ianya adalah berbeza bagi setiap orang. Mungkin bunyi itu adalah bunyi muzik, mungkin juga bunyi cengkerik atau mungkin bunyi suara orang yang kau cinta. 

Ada antara ahli fizik yang sanggup menghabiskan hayatnya mencari bunyi yang menggetarkan hati itu. Kenapa? Kerana bunyi yang menggetarkan hati adalah bunyi yang paling sempurna. Gelombang terindah yang pernah terhasil. Bunyi yang tidak akan kau lupa sampai bila-bila. Ianya adalah getaran yang menerbitkan suatu rasa aneh di jiwa.  Rasa cinta.

Perasaan aneh itu kini dirasai oleh seorang lelaki di pawagam. Puncanya dari ketawa galak seorang perempuan yang duduk selang beberapa baris dari dia. Lelaki itu tadi nyaris mahu menguatkan kapasiti nada DrBeats Ipod III yang dibawa bersama tetapi terus mematikan lagu grunge yang sedang dimainkan sebaik terdengar suatu bunyi. Ya, bunyi ketawa. Ia adalah bunyi yang menggetarkan hatinya. Dia telah menjumpai bunyi paling sempurna itu tanpa disedari.

Filem ngeri yang ditayangkan di skrin besar hadapan dia kini tidak lagi menimbulkan rasa tidak senang padanya. Bunyi jeritan mangsa yang dibunuh alien dalam filem itu tidak lagi menerjah gegendang telinganya. Lama dia terpaku cuba mengecam pemilik suara ketawa itu. Teman wanitanya, Felicia yang berada di sebelah tidak dipedulikan lagi padahal kerana perempuan berbangsa Inggeris itu dia ke sini tadi. Dia tahu teman wanitanya itu mudah berasa takut dan terkejut jadi dia membawanya menonton filem ngeri. Rancangan tersembunyi dia adalah untuk menikmati pelukan percuma dari teman wanitanya itu sepanjang sesi tayangan berlangsung. Kalau lebih bernasib baik, mungkin juga dia akan dihadiahkan kucupan luar sedar.

 Ya, semua ini baginya begitu mudah. Macam makan kacang.Kupas kulit terus makan.Tidak perlu fikir banyak. Sudah banyak pengalamannya dengan perempuan. Teman wanitanya ditukar macam dia tukar baju. Lagipun dia anak orang berada, apa yang dia mahu petik jari saja dia boleh dapat. Perempuan baginya spesies yang senang dipujuk, yang senang dibeli jiwa mereka. Hulurkan saja lambakan not berharga dalam dompetnya, atau puluhan kad kredit yang tersusun kemas atau dia hanya perlu menayangkan kereta sport buatan luar negeri miliknya kepada mereka. Selepas itu, pasti mereka tidak mahu berenggang lagi dengan dia.

“Oh my God!”

 Felicia terjerit ketakutan apabila satu adegan alien makan manusia muncul di skrin besar. Dia memeluk teman lelakinya yang tanpa disedari sudah terpaku seperti patung di tempat duduk.

“Oh, I can’t see this Jimmy! It’s so horrible,” sambung Felicia dengan suara manjanya yang sengaja dilunakkan lagi.

 Lelaki yang dipanggil Jimmy tadi seakan terpukau. Dia tidak mendengar suara Felicia kesayangannya atau jeritan nyaring dari filem itu lagi. Telinga dia hanya menangkap bunyi ketawa perempuan yang sedang direnungnya. Walaupun dalam kesamaran cahaya, dia pasti perempuan itu memakai kebaya warna hitam merah. Tentu perempuan Melayu, fikirnya. Tetapi dia tidak kisah lagi Melayu, India, Cina atau apa-apa bangsa sahaja. Kalau alien sekalipun dia tidak kisah. Yang penting dia mahu menikmati bunyi ketawa perempuan itu. Dia mahu mendengar bunyi itu sampai bila-bila. Dia mahu menjadikan bunyi itu milik dia selama-lamanya.

Sepanjang masa tayangan, dia hanya memerhati perempuan yang pelik itu. Satu-satunya perempuan yang ketawa di saat semua perempuan lain menjerit ketakutan. Dia tidak sedar berapa kali Felicia menghadiahkannya dakapan percuma. Dia tidak berkeinginan langsung untuk membalas dakapan perempuan cantik itu seperti selalu. Kalau tidak pantang ada peluang pasti dia tidak lupa mengambil kesempatan yang ada. Tetapi kerana perempuan pelik yang sedang ketawa itu, dia bagaikan lupa terus pada Felicia.

 Dia lupa yang dia pernah menunggu di hadapan apartmen perempuan itu selama separuh hari semasa mahu memikatnya dahulu. Dia lupa yang dia pernah berhabis ribuan ringgit untuk membeli bunga semata-mata mahu mengajak Felicia keluar makan malam.

Tamat saja filem itu, dia terus menerpa keluar mengekori perempuan tadi. Dia hanya teringat pada Felicia apabila perempuan itu terkocoh-kocoh mengejarnya. Felicia menghalang dia dari terus bergerak dengan merangkul tubuhnya. Felicia melentokkan kepalanya manja di bahu lelaki itu. Jimmy tiba-tiba berasa jengkel dengan kelakuan manja perempuan yang pernah ditatangnya bagai minyak yang penuh. Pelukan perempuan itu dirasakan seperti menghantar satu isyarat rimas ke otaknya. Tiba-tiba dia jadi meluat dengan Felicia. Entah mengapa dia tidak tahu. 

Oleh itu dia lekas-lekas menghentikan perlakuan manja Felicia lalu memujuk perempuan itu pulang dahulu menaiki teksi. Sempat dia menghulurkan puluhan keping not RM50 dan beralasan bahawa dia mahu menemui teman lama. Mujur Felicia akur tanpa banyak soal. Kalau Felicia berkeras, tentu sahaja dia akan meninggalkan perempuan itu begitu saja kerana dia ada perkara lebih penting sekarang. Dia harus mengejar perempuan pelik tadi. Wajib. Dia tidak boleh membiarkan perempuan itu pergi tanpa berjumpanya.

“Tunggu...tunggu sekejap. Awak, tunggu dulu!” 

Jimmy berlari mendapatkan perempuan berkebaya hitam merah. Perempuan itu terus berjalan bagaikan tidak mendengar jeritannya. Dia menggunakan seluruh kudrat yang ada untuk berlari lalu mencapai pergelangan tangan perempuan pelik itu. Serta merta perempuan tersebut menoleh. 

Dua pasang mata bertemu untuk kali pertama. Mata hazel perempuan berkebaya menyapa Jimmy. Pandangannya lembut walaupun tajam menikam. Pegangan Jimmy terlucut sendiri. Dia terpegun di situ. Semua ayat-ayat memikat yang dihafal berterbangan lari dari mindanya.

 Kalau tadi bunyi ketawa perempuan ini sekadar menggetarkan hatinya , kini dia rasa jantungnya telah luruh sama sekali.Kalau sebelum ini dia akan menggunakan apa saja cara untuk memikat hati perempuan yang dimahukan, kini dia rasa dia akan melakukan apa sahaja supaya perempuan berkebaya ini menerima hati miliknya . Dia nekad mahu menyerahkan seluruh hati kepada perempuan ini. 

“Can I help you, mister?” suara yang menggetarkan hatinya berbunyi. 

Jimmy menatap perempuan itu. Sesaat pun dia enggan membenarkan matanya berkelip. Memang jika hendak dibandingkan dengan bekas-bekas teman wanitanya sebelum ini, ada antara mereka yang berkali ganda jauh lebih cantik dari perempuan yang sedang direnungnya. Tetapi perempuan berkebaya ini mempunyai daya pesonanya yang tersendiri. Perempuan ini boleh membuatkan dia terpegun tanpa perlu kecantikan melampau. Dia ada daya tarikan unik dan kecantikan tersendiri.

“Yes you can.” 

Dia terus merenung wajah perempuan yang hampir membuatkan jantungnya berhenti berdegup.

“What can I do for you?”

 Mata perempuan itu memandang Jimmy ingin tahu. Pandangannya tenang tetapi penuh aura hidup. Tidak seperti pandangan wanita-wanita lain yang pernah dilihatnya. Pandangan mereka nampak kaku, nampak mati walaupun mereka hidup tetapi perempuan ini benar-benar hidup. Kehadirannya memberikan perasaan luar biasa kepada Jimmy. Seperti dia dilahirkan semula hari itu. Mati hidup kembali rupanya bukan sekadar falsafah kosong atau dongengan sastera. Jimmy yakin itu sekarang kerana dia telah merasainya.

“Take my heart and be with me. Forever.” 

Dari beratus-ratus permintaan yang dibuat kepada perempuan untuk dijadikan teman wanita, permintaan kali ini betul-betul datang dari hatinya.

“You are not on drugs, are you?” perempuan itu ketawa kecil. 

Jimmy mengakui dia memang telah khayal tetapi bukan kerana dadah sebaliknya kerana bunyi tawa itu.

“Be my girlfriend, will you?”

“You are not drunk, are you?” Ketawanya kini bertukar kepada senyuman.

 Ya, Jimmy akui dia memang mabuk tetapi bukan kerana alkohol. Senyuman itu yang menyebabkan dia mabuk.

“No. I’m fully conscious. And I am deadly serious about what I just said.”

Perempuan itu masih tersenyum. Kemudian lambat-lambat dia menggeleng.

 “I’m sorry but I already have a boyfriend.”

Mendengar jawapan itu, Jimmy rasa jantung dia telah pecah walaupun darah di dalam tubuhnya masih mengalir. Tiba-tiba semua wang yang dia ada, puluhan kad kredit yang dia punya dan kereta paling mahal yang dibeli serasanya sudah tidak ada maknanya. Dan sekalipun dihimpunkan seluruh wanita di dunia, Jimmy pasti tiada yang mampu menggembirakannya lagi.





May Peace Be Upon Us.

Live,Laugh,Die Emotionally!

1 comment:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat