Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Wednesday, February 13, 2013

Kepada Saudara Perempuanku (Surat 2.3)


 Ini adalah bahagian terakhir dalam episod CINTA DAN LELAKI...Ya,ya, aku tahu kau tak sabar.



 
Saudara perempuanku yang mungkin dirindui selepas ini,

Aku selalu berpegang pada pepatah, “I’d rather love the one that I can’t have than have the one that I can’t love.” Sebab bagi aku, aku tidak boleh bersama dengan lelaki yang aku tidak cinta, biar betapa banyak pun dia mencintai aku. Aku tidak mampu berpura-pura bahagia dengan lelaki yang aku tidak suka biar betapa banyak aku mencuba. Tetapi dalam hal ini, aku tidak mahu memaksa kau memilih untuk berpegang pada prinsip yang sama. Malah suka untuk aku galakkan kau memilih lelaki yang mencintai kau lebih dari kau mencintainya. Dalam sesuatu perhubungan, sentiasa akan ada sebelah pihak yang lebih menyayangi dan lebih banyak memberi. Kalau doa aku sentiasa dijamin termakbul, tentu sekali aku ingin mendoakan supaya kau tidak menjadi pihak tersebut.

Suka untuk aku ingatkan kau di sini bahawa kita tidak boleh membenci kaum Adam biar betapa banyak kau rasa kau telah tersakiti disebabkan mereka. Jika kau telah terjumpa seorang lelaki tidak berguna tidak bermakna semua yang lain juga sama. Sebelum kau memutuskan untuk berpatah arang berkerat rotan dengan lelaki, mari kita kenangkan kembali akar umbi kita, asal usul kita yang dijadikan dari tulang rusuk Adam. Kerana kaum Adam tidak boleh hidup bersendirian dalam kesepian yang tidak berpenghujung maka kita diciptakan untuk menjadi pendamping mereka (bukanlah bermakna kita ini hantu dalam filem Damping Malam), kita diberi jasad serta roh dan dibentuk menjadi seorang perempuan. Kita adalah peneman kaum Adam, kawan mereka yang paling rapat (walaupun kebanyakan mereka tidak menyedari hakikat ini), kita lebih rapat dan dekat dengan hati mereka kerana mereka secara sukarela tanpa sedar telah menyerahkan secara percuma tulang rusuk kiri untuk menyempurnakan kejadian kita sekaligus melengkapkan kejadian mereka sendiri.

Kita adalah pelengkap kepada mereka dan bukan sebaliknya. Tanpa kita, mereka adalah seumpama sebuah puzzle yang tidak sempurna kerana satu kepingannya telah tiada. Walaupun mereka telah mempunyai 99 kepingan lain, mereka akan sentiasa merasa kosong dan tercari-cari 1 lagi kepingan yang hilang. Sekalipun kau buruk, gedik, hodoh, mengada-ngada tahap minta pelempang, bimbo, lembap, banyak cekadak, banyak songeh dan banyak menghabiskan beras sahaja tetapi kau tetap berharga (selagi kau masih ada harga diri) bagi lelaki kerana di mata mereka kau adalah kepingan puzzle mereka yang tertinggal itu. 

Janganlah pula kau merasa bongkak dan angkuh kerana hakikat ini kerana Tuhan membenci orang yang menyombong diri. Membenci lelaki beerti kau membenci sebab yang membawa kepada penciptaan kau, membenci asal usul kejadian kau bermakna kau adalah orang yang sombong dan enggan tunduk pada kebenaran ini. Suka untuk aku ingatkan kau kembali sebab Iblis diusir dari syurga juga adalah kerana dia menyombong diri dan merasakan kejadiannya lebih baik dari manusia. Jadi janganlah sesekali kau menyombong lalu mendabik dada mengatakan kau boleh mengetuai negara dan mentadbir dunia tanpa lelaki. Sedangkan anjing yang diberi makan tidak akan menggigit tangan tuannya sendiri (perumpamaan apa ini aku pun tak tahu). Sudahlah kau “mencuri” tulang rusuk itu dan menggunakannya secara percuma, adakah patut kau menginjak-nginjak pemilik asalnya dengan kaki? Ya, memang itu semua datangnya dari Tuhan tetapi jangan kau lupa atau sengaja mengingkari ketetapan Tuhan yang menjadikan semua di bumi ini berpasang-pasangan.

Saudara perempuanku, kau mungkin marah atau tidak setuju dengan lelaki kadangkala. Kau mungkin mahu menjerkah dan menengking mereka setiap kali bersua muka. Kau mungkin telah kecewa dan berharap kau tiada hati pada mereka sampai bila-bila. Namun, di sebalik semua keburukan dan kejelekan mereka, kau lupa yang salah seorang darinya adalah pemilik asal tulang rusuk kau. Buruknya dia adalah buruknya kau. Jika dia jelek, kau juga jelek. Tidakkah kau terfikir kalau di sebalik setiap kesusahan ada kesenangan, maka bukankah di sebalik keburukan juga terdapat kebaikan? (kalau tak banyak, mungkin ada sedikit kerana selebihnya kebaikan itu ada pada kita; bukankah kita pelengkap mereka?) Kerana itu ada lelaki yang jahat macam Firaun tetapi isterinya baik macam malaikat hidup. Kejahatan yang ada mungkin tidak dibahagi sama rata tetapi kebaikannya dapat dikongsi bersama-sama. 

Saudara perempuanku yang kadang-kadang ingin kutemui,

Janganlah menjadi perempuan yang suka mengeluh, meninggikan suara, membentak marah, mengumpat dusta, dan suka mencaci cela keburukan orang lain. Kau mungkin telah menyimpulkan yang lelaki milik kau mempunyai banyak keburukan lalu kau sering menghebahkannya ke sana sini. Adakalanya kau dan aku sendiri pun tidak sedar yang betapa banyak keburukan yang mereka miliki, sebenarnya lagi banyak keburukan yang ada pada diri kita. Nak tahu apa yang ironi lagi mengharukan di sini? Saat kita tersedar , “Oh rupanya aku juga begitu, rupanya aku begini buruk selama ini” , saat itu juga baru kita mula berfikir , “ adakah kita tak sedar kerana kebodohan sendiri atau kita tak sedar kerana mereka tidak pernah menghebahkan keburukan kita?” 

Ya, lelaki mungkin mengusik dan mengata kita itu ini tetapi lelaki yang benar-benar menyayangi kau, lelaki yang benar-benar lelaki, dia akan menyembunyikan keburukan kau bukan saja dari pengetahuan orang ramai malahan dari terlihat dek pandangan kau sendiri juga. Bukan kerana dia tidak mahu menegur, bukan kerana dia merasakan dia tidak perlu menegur tetapi kerana dia enggan kau berkecil hati lalu merajuk lagi dan lagi dan lagi dan seterusnya.

Ada tokoh terkenal pernah menyatakan , “ Love is life. If you miss love, then you miss life.” Cinta adalah kehidupan. Jika kau terlepasnya, maka itu beerti kau telah terlepas kehidupan kau sendiri. Jangan takut untuk menyentuh cinta, jangan ragu-ragu untuk jatuh cinta. Kerana sekalipun percintaan kau kecundang di tengah atau tepi jalan, sekalipun kau tersungkur seorang diri (padan muka!) sekurang-kurangnya kau boleh bangun lalu berkata 
“ sial kau jantan celaka! Pergi mampos dalam neraka!” “ It doesn’t matter if I suffer, it doesn’t matter if I cry, it doesn’t matter if I fight, because in the end I’ll be able to say, I suffered, I cried, I fought, but I loved you and those words is everything that does matter.”

Aku menggalakkan kau bercinta tetapi bukan bermakna aku menggalakkan kau melakukan maksiat, ‘ringan-ringan’, berciuman sana sini dan berzina sesuka hati. Kau pasti tak pernah memahami maksud cinta sebenar bukan? Kau pasti tak boleh membayangkan bagaimana untuk merasai cinta tanpa perlu melampaui batas. Kau pasti tak tahu cara menikmati cinta tanpa perlu menurut hawa nafsu. 

Nasihat aku cuma satu : Bercinta dengan hati bukan dengan nafsu, bercinta dengan lelaki bukan dengan syaitan. Ya, syaitan sentiasa ada antara kita namun antara dinding cinta dan dinding nafsu terdapat jurang pemisah yang amat tinggi jika cinta kau benar-benar datang dari hati. Sepertimana Yakjuj dan Makjuj tidak dapat merangkak naik dari dinding besi yang dibina Zulqarnain, seperti itu juga syaitan tidak dapat menembusi dinding cinta sejati kau. Beritahu aku pernahkah kau dengar Romeo dan Juliet sama-sama mencampak anak luar nikah mereka dari tingkap 19? Atau pernah kau dengar Qaisy membuntingkan Laila lantas meninggalkannya begitu saja? Cinta sejati ibarat lirik lagu Teman Pengganti, “Ketawa bersama, menangis bersama; ku bersumpah harap kita mati pun bersama.”

Malang sekali saudara perempuanku, cinta sejati zaman sekarang sudah pupus kukira. Cinta sejati adalah seperti hantu; semua orang bercakap mengenainya, ramai mengaku pernah melihatnya tetapi hanya segelintir kecil yang benar-benar bertembung dengannya. Untuk mencari cinta sejati di zaman ini adalah ibarat mencari orang yang tidak pernah memiliki akaun Facebook atau Twitter. Susah bukan? Kerana itu zaman sekarang, orang ramai giat mempromosikan cinta selepas nikah. Tetapi seperti tadi juga, ramai yang bercakap tentangnya, namun hanya sedikit yang benar-benar melakukannya.

Pegang kata-kata aku ini; Cinta adalah kunci yang membuka hati yang mati, nafsu adalah api yang mendidihkan cinta sampai mati. Bebaskan diri kau dari belenggu nafsu dengan meletakkan batu asas cinta dahulu. Di mana mahu kau letakkan batu asas itu?  Letakkanlah ia dalam dakapan cinta Tuhan, saat kau bersujud merendahkan diri serendah-rendahnya kepada Dia. Selepas kau membebaskan diri kau, meletakkan cinta teragung pada yang berhak, kau boleh memeluk cinta yang datang selepas itu tanpa rasa takut.

Saudara perempuanku yang selalu kuhormati,

Jika diikutkan hati perempuan, memang sampai esok lusa pun kita tidak akan habis bercakap mengenai kaum Adam. Begitupun, aku rasa cukuplah setakat ini dahulu bicara kita tentang cinta dan lelaki. Andai kau mahu lebih dari ini, kau tahu di mana nak mendapatkan nasihat aku.

Akhir kata, sebelum kita berjumpa lagi di satu lagi lembaran selepas ini iaitu lembaran terakhir mengenai agama, syurga dan neraka, mahu aku sampaikan kata-kata ini kepada kau: 

“The greatest thing you’ll ever learn during your life is just to love and be loved in return.”

Semoga kau berjaya menemui lelaki yang benar-benar layak mendapatkan cinta kau. Semoga kau berjaya menemukan cinta yang kau damba. Dan marilah kita sama-sama berharap kita akan ditemukan dengan pemilik tulang rusuk asal masing-masing. Pemilik yang sebenar, bukan yang palsu, bukan yang tiruan atau “Made in China”.




May Peace Be Upon Us.

Live,Laugh,Die Emotionally!

No comments:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat