Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Friday, May 31, 2013

Excerpt For Dear Mr Salvatore Part 19.



 
            Kejutan ini terlalu hebat untuk aku terima. Aku tidak dapat merasai sama ada jantung aku masih berdegup atau sudah berhenti kerana terlampau terkejut. Nafasku terlalu laju sampai tidak terhitung lagi. Hampir setengah jam aku terduduk di lantai. Sebelah tangan memegang buku hitam milik Legan dan sebelah lagi menggenggam kemas seutas rantai kepunyaanku. Memang tiada kaitan antara keduanya dan memang sepatutnya tidak ada kaitan langsung. Tetapi apa yang tertancap pada pandangan mata aku sekarang menafikan hakikat itu.

               Aku sedang melihat simbol yang terdapat pada buku Legan dan loket rantai aku. Ianya bukan sesuatu yang mengelirukan. Kebenarannya jelas terpampang di depan mata. Kedua-dua simbol pelik itu adalah sama. Selama ini aku tidak pernah perasan malah aku tidak pernah terfikir mengenainya kerana rantai itu tidak pernah aku keluarkan dari kotak simpanannya. 

            Rantai itu satu-satunya barang yang ada pada aku semasa aku ditemui di gereja. Boleh dikatakan ianya satu-satunya petunjuk untuk membawa aku kepada ibu bapa kandungku. Namun harapan itu terkubur begitu saja bertahun lepas kerana selain simbol pelik yang terukir di atas loket, tiada apa-apa petunjuk lagi yang dapat kukesan.

            Malah kemana-mana pun kedai barang perhiasan yang aku tuju untuk bertanya, semua pakar barang kemas dan pemilik kedai menafikan mereka pernah mengukir simbol yang sama di mana-mana barang perhiasan. Menurut mereka lagi, itulah kali pertama mereka melihat simbol seumpamanya. 

             Ada juga yang berminat untuk membelinya dan menawarkan harga yang tinggi. Alasan mereka loket itu sangat unik dan berharga kerana tiada siapa yang boleh mengukir simbol pelik itu di dalam sebutir batu permata seakan kristal akuamarin yang sangat cantik. Mineral warna azul itu berkilauan dan kelihatan hidup seperti dasar lautan biru yang sentiasa bergerak walaupun ianya sebutir batu yang pejal.Lebih dari itu, seorang pembuat barang perhiasan pernah membisikkan sesuatu yang membuatkan aku kagum.

          “Kalau ada pakar barang kemas terkenal mengaku dia yang mengukir simbol ini, saya akan mengutuknya sebagai penipu. Awak tahu kenapa?” Dia sengaja berjeda sejenak sebelum meneruskan.

          “Sebab simbol ini bukan diukir. Malah tiada mana-mana pakar ukiran barang kemas yang paling handal pun yang boleh membuat ukiran sebegini kerana simbol ini berada di dalam permata. Untuk mengukir kami terpaksa menghiris batu permata dan ia akan meninggalkan kesan. Tetapi tiada sebarang kesan kerosakan berpunca dari ukiran atas loket awak,” beritahunya dengan rasa teruja. Entah apa yang menjadikan dia begitu teruja aku tidak tahu.

           “Jadi?” soalku sedikit keliru dan terumbang-ambing untuk memahami penjelasannya tadi.

            Dia mendekatkan mulut ke telingaku mahu berbisik seolah-olah ianya rahsia besar negara. Sambil matanya melingas memandang kiri kanan untuk memastikan tiada yang berada berdekatan kami, dia mula membuka rahsia dari pengalaman bertahun sebagai pakar pembuat barang perhiasan.

            “Saya ada dua andaian di sini yang mungkin awak mahu dengar. Satu, simbol itu memang terhasil dari dalam batu permata sendiri. Kalau begitu, maknanya awak sangat bertuah untuk memiliki permata ini yang belum pernah ditemui siapa-siapa. Awak boleh menjualnya kepada saya dengan harga yang tinggi atau melelongnya dengan harga yang tidak dapat awak bayangkan. Dan kedua...ini sekadar teori saya sahaja tetapi saya rasa ada kemungkinan simbol sebegini diukir oleh bukan manusia.

             Aku hanya ketawa saat dia mengungkapkan teorinya yang bagiku tidak masuk akal namun sekarang semuanya mulai diterima akal. Simbol itu memang bukan kerja tangan manusia. Legan. Sekilas dari ekor mata aku terpandang lelaki itu tercegat kaku di halaman rumah sewaku. Aku sedia maklum dia memang suka menengadah muka memerhati langit tetapi sejak akhir-akhir ini kurasa dia menghabiskan masanya terlalu kerap untuk aktiviti itu. Tidak pula kutimbulkan rasa curiga aku di hadapannya walaupun aku hatiku dihimpit perasaan tertanya-tanya.

            Saat ini, sepertinya aku sudah tidak mampu membendung rasa ingin tahu lebih lama. Lebih penting lagi, aku perlu mendapatkan kepastian berhubung simbol misteri yang menjadi tanda tanya di benakku sejak dahulu.

“Legan, beritahu saya apa sebenarnya ini?” soalku enggan bertangguh lagi. 

            Aku menerpa ke arah dia sebaik kakinya melangkah memasuki rumah. Legan mempamerkan riak wajah bersahaja seperti selalu. Dia tidak kelihatan tersentak dengan tindakan spontan mahupun soalan aku.

             “Beritahulah saya Legan. Saya perlu tahu apa yang awak sembunyikan dari saya selama ini,” desakku lalu menayangkan simbol loket aku di depannya.

              Anak matanya mengekori loket itu. Lama dia bagai terpaku memandangnya sebelum kembali menatap aku. Walaupun tiada reaksi terkejut pada air mukanya tetapi aku terkesan anak mata dia yang membesar sebaik melihat simbol yang kutunjukkan. Ini mengesahkan andaianku bahawa dia tahu sesuatu. Suatu rahsia penting yang diselindungkan dari pengetahuanku sejak dari mula kami bertemu.

               “Apa yang awak mahu tahu Anna?” tanyanya kembali bersama pandangan tenang.

                “Beritahu saya semuanya Legan,” sungguh-sungguh aku mendesaknya ketika itu kerana rasa ingin tahuku tidak tertahan lagi.

                 Legan menggeleng. “Semuanya terlalu banyak dan terlalu subjektif.  Saya hanya akan beritahu apa yang awak mahu tahu.”

                 “Saya mahu tahu semuanya Legan. Semuanya. Beritahu semuanya kepada saya sekarang!” balasku dalam nada memaksa. Legan diam. Mungkin dia sedang berfikir apa yang mahu diceritakannya kepada aku. Prasangka jahatku membisikkan yang dia sengaja menyepikan diri kerana enggan membenarkan aku tahu apa-apa. Lagipun selama ini juga dia selalu membisu apabila aku bertanyakan soalan yang aku ingin tahu.

                  Diselubungi perasaan geram, aku menghampirinya lantas berdiri betul-betul dekat dengan dia. Kedua-dua tangan aku bertindak menggenggam baju yang dipakainya. Legan tidak cuba melepaskan bajunya dari genggamanku.

                   Dia sekadar menatap aku dengan ketenangan yang tidak terusik sedari tadi. Aku tidak peduli lagi kalau apa yang aku lakukan ini menyakitkannya. Aku tidak peduli lagi seandainya dia mahu mengamuk lalu melenyapkan bumi dari sistem suria sekalipun. Apa yang lebih penting bagi aku sekarang adalah untuk memuaskan rasa ingin tahuku. Aku perlu tahu apa yang dia sembunyikan selama ini.

                   “Siapa awak sebenarnya Legan? Beritahu saya!” aku bukan lagi bertanya sebaliknya sudah menjerit kuat di hadapannya.

                  Legan tidak menjawab. Dia tidak bersuara. Dia tidak berbuat apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri dan memandangku. Lelaki ini sungguh mengecewakan. Untuk memberi satu jawapan yang mudah pun dia tidak mampu. Sebenarnya bukan tidak mampu tetapi lebih kepada tidak mahu. Rasa hampa bergulung-gulung menenggelamkan perasaan ingin tahu.

                  Sedetik dua aku turut menyepi. Hanya mata kami yang saling bertingkah. Mata aku yang penuh dengan amarah dan kecewa manakala mata Legan pula kosong tanpa emosi. Merenung mata biru itu dalam-dalam aku bagai tersedar akan sesuatu. Lambat-lambat aku melepaskan genggaman tangan kemudian membetulkan bajunya.

                  “Siapa saya sebenarnya Legan? Siapa saya di dalam kehidupan awak? Adakah kita pernah bertemu sebelum ini?” soalku dengan nada suara biasa. Aku tidak lagi menjerit atau memaksanya seperti tadi. Bukan kerana rasa ingin tahuku telah mati begitu saja tetapi kerana aku sedar aku telah tersalah menafsir apa yang aku mahu tahu. Yang cuba dirungkaikan mindaku bukan persoalan tentang dia sebaliknya tentang diri sendiri. Siapa aku sebenarnya?

                   “Awak tahu siapa diri awak Anna. Itu soalan yang tidak perlu saya jawab,” balas Legan menambah cuka dalam perasaan kecewa aku. Biarpun jawapannya jujur tetapi bukan itu yang aku mahu dengar. Persoalan mengenai siapa diriku belum menemui kepastian.

                     “Ya, saya tahu saya Anna Maria. Sekadar tahu nama tidak memberi apa-apa makna Legan.” Aku melepaskan keluhan panjang. Kalau perasaan kecewa adalah objek yang boleh disentuh pastinya sudah berceracak bongkah-bongkah kecewaku di hadapan lelaki ini.

                    “Manusia memang makhluk yang kompleks. Bangsa awak lebih suka merungkaikan sesuatu yang sulit dari mengembangkan sesuatu yang ringkas,” komen Legan. 

Ulasan itu memang tidak diharapkan maka aku tidak rasa perlu untuk aku berterima kasih.

                     “Semua benda akan berkembang sendiri Legan. Saya tidak rasa perlu untuk kita mempercepatkan proses itu. Lagi cepat kita memaksanya berkembang, lagi cepat ia akan sampai ke penamatnya. Semua benda yang berkembang akan berhenti suatu hari nanti. Seperti juga manusia, kami membesar, berkembang, mengalami perubahan, menjadi tua lalu mati.” 

                      Sepertimana juga teori Big Bang mengenai kewujudan alam semesta. Semua jasad dan bintang di luar angkasa sana dikatakan bermula dari saiz lebih kecil dari sebutir beras yang kemudiannya berkembang dan membesar.

Satu hari nanti, ia juga akan berhenti lalu mati. 

                       Kebanyakan saintis berpendapat alam semesta ini akan mengecil semula menjadi sebutir beras sebagaimana ia bermula tetapi bagi aku, penyataan mudah mengenai teori mereka adalah berlakunya proses penuaan kemudian diakhiri dengan kematian. Walaupun kedengaran pelik dan mungkin masih ada yang tertanya-tanya bagaimana alam semesta boleh mati begitu saja namun tidak perlu terbit sebarang keraguan tentang ini. Ia bukan sekadar satu teori. Semua yang berkembang perlu berhenti juga lambat laun bukan? 

Setiap yang bermula ada penamatnya.











May Peace Be Upon Us.

 

Live,Laugh,Die Emotionally!

No comments:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat