Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Monday, May 27, 2013

Excerpt For Dear Mr Salvatore Part 18.




 
             Benarlah kata Mr Salvatore, bumi ini bumi suci. 

             Saat pertama kali kaki terinjak di sini, semua kebenaran seperti terpampang luas untuk aku lihat sendiri. Apabila berada di sini, buminya langsung bercerita tanpa diminta lalu pembohongan dahsyat yang cuba ditutup akan terbongkar.Tanah yang suci sekalipun dicemari darah jutaan manusia tidak berdosa, kesuciannya masih terpelihara. Apatah lagi kalau darah itu ditumpahkan dengan rela oleh para mujahid yang tidak gentar berdepan dengan maut. Debu di bumi ini tidak terasa kotor walau diusik oleh gelimpangan kelongsong peluru milik bangsa terlaknat. Bendera bersimbol kebinatangan menerjah penglihatan aku sepanjang perjalanan kami.
 
           Van hitam milik tentera Israel yang membawa aku, Legan dan beberapa orang penting melalui kawasan tempat ibadat berhampiran Masjid Ismail di Hebron yang dikongsi dua penganut agama iaitu Islam dan Yahudi.

            Orang Yahudi menggelar kawasan ini Makhela. Gua Makhela yang terdapat di sini dipercayai tempat suci dan penting menurut agama mereka.Kami berhenti sebentar untuk pemeriksaan. Aku sempat meninjau sekumpulan tentera rejim Zionis yang berkawal di sekeliling masjid. Tentera yang lengkap bersenjata itu mengawasi penganut Islam yang mahu memasuki masjid untuk menunaikan solat. Untuk menunaikan solat di sini umpama mahu berperang dengan maut. Pada waktu malam masjid ini bertukar rupa apabila dikunjungi oleh penganut agama Yahudi yang menjadikan ia tempat ibadat mereka dan tempat mendengar kuliah keagamaan.

           “Kita akan sampai ke Baitulmaqdis sebentar lagi,” beritahu Harith yang nampak bersemangat menyebut nama tempat itu. Dia mengiringi aku dan Legan untuk memastikan keselamatan kami. Aku menoleh ke belakang melihat puluhan trak kontena besar yang berderet mengikuti van kami dan juga sebuah lagi van dinaiki Presiden Israel dan beberapa pemimpin kuasa besar dunia yang lain. 

             Terdapat kira-kira 43 buah trak kesemuanya dan setiap satunya boleh memuatkan 25 buah kereta Honda Accord. Apa yang dibawa di dalamnya bukanlah kereta, sumbangan makanan atau ubat-ubatan tetapi permintaan istimewa dari aku sendiri. Anggaplah ianya hadiah kecil untuk penduduk bumi suci ini yang telah lama menderita. 

            Kerana isi kandungan trak tersebut jugalah aku sanggup bersusah payah ke sini. Aku mahu menghantarnya sendiri. Aku mahu melihat trak ini diserahkan kepada yang berhak di depan mata aku sendiri.

             Bentayahu memang telah menandatangani surat rundingan tetapi apalah yang boleh diharap dari lelaki itu apabila perjanjian damai yang melibatkan seluruh dunia pun dia khianati begitu saja. Aku tidak akan mempercayai lelaki itu sekalipun dia mengatakan perkara yang benar. Mati hidup balik pun aku tidak mahu menaruhkan kepercayaan kepadanya. Disebabkan itu aku mahu menyaksikan dia melakukan apa yang sudah kami persetujui dalam kehadiran aku. Setiap gerak gerinya tidak terlepas dari diawasi aku. Kerana dia licik, maka aku perlu jadi lebih licik.

              Perjalanan kami ke Baitulmaqdis kurasakan sangat lancar.Tiada lagi sekatan atau pemeriksaan di pos-pos kawalan tentera Israel. Kawasan perumahan di sini yang suatu ketika dahulunya milik penganut Islam kebanyakannya sudah dibeli oleh bangsa Israel. Kesan-kesan seni bina Islam kian pudar kerana beransur-ansur digantikan dengan lambang agama Yahudi dan seni bina mereka. Hampir kesemua rumah yang dimiliki orang Israel telah menjalani proses pengubahsuaian. Berada di sini seperti berada di negara milik Israel walaupun bumi ini bukan kepunyaan mereka. Nampaknya resolusi jahat mereka untuk memiliki negara sendiri bakal tercapai tidak lama lagi.

              Matahari sudah condong ke ufuk barat semasa kami sampai ke kawasan Masjid Baitulmaqdis. Pasukan pejuang Hamas, rejim al-Qassam serta lain-lain para mujahidin telah memenuhi kawasan sekitar masjid ketika van kami melewati bangunan kecil berhampiran yang dijadikan sekolah. Beberapa orang lelaki bersusuk tegap menghampiri van yang dinaiki Presiden Israel dan beberapa individu penting dunia. Mereka adalah ketua atau pemimpin pasukan pejuang Islam masing-masing. Van yang membawa aku dan Legan berhenti jauh sedikit dari mereka. Sengaja aku meminta begitu kerana aku hanya mahu menyaksikan sesi penyerahan trak-trak tersebut dari jauh dan bukannya terlibat secara langsung dalam prosesnya.

            “Kalau awak tidak keluar, saya juga akan tunggu di sini bersama awak,” ujar Harith selepas hanya tinggal aku, dia dan Legan dalam van itu. Dr Aqeelah, Profesor Adam Mukmin serta beberapa orang lagi yang menyertai kami ke sini sudahpun menapak ke arah kawasan para pejuang muda berhimpun. 

             Aku membuang pandang ke arah luar melalui cermin tingkap van. Berbanding dengan tentera rejim Zionis yang aku lihat tadi, para pemuda ini tampak lebih tenang dan gagah walaupun terpaksa berjuang dalam keadaan serba kekurangan. Wajah mereka tidak tampak bengis walaupun tanpa senyuman. Jika dilihat lebih dekat aku pasti aku boleh nampak cahaya di situ. Cahaya keimanan menurut Mr Salvatore.

              Kekuatan mereka bukan diukur dari segi jumlah senjata atau peluru yang ada tetapi kekuatan mereka datang dari dalam jiwa. Kekuatan yang bersandarkan kepercayaan kepada Tuhan mereka semata-mata. Anehnya, kekuatan yang dilihat tidak seberapa inilah yang menggerunkan rejim Zionis sehinggakan mereka bermati-matian melawan para pemuda istimewa ini. Sehinggakan mereka menggunakan kesemua peluru di tangan dan menggeluarkan senjata tercanggih yang ada demi menentang pejuang-pejuang hebat berkenaan yang kadangkala hanya dibekalkan sepucuk senapang setiap seorang.

             Mereka berbaris tegak tidak berkutik dengan beberapa panji dibawa bersama. Agaknya beginilah keyakinan mereka ketika berhadapan dengan tentera Zionis Israel. Tidak ada secalitpun rasa gentar atau perasaan mahu berundur ke belakang. Melihat bagaimana teguhnya keyakinan hati mereka dan betapa tenangnya jiwa mereka walaupun terpaksa berdepan dengan maut setiap hari, aku jadi malu sendiri. Tidak terkecuali aku diserbu rasa cemburu. Andai Mr Salvatore berada di sini, tentu dia juga diserang perasaan yang sama. 

             Alangkah iri hatinya aku melihat pemuda-pemuda ini berlari membawa sepanduk syurga menuju ke alam akhirat. Alangkah dengkinya aku melihat semangat dan kepercayaan mereka yang tidak pernah luntur biar maut berada di depan mata. Mereka tidak takut mati kerana mereka percaya mereka akan bertemu Tuhan mereka kelak. Mereka yakin dengan janji-janjiNya. Saat ini, serasanya aku tidak punya bantahan lagi seandainya Mr Salvatore memilih untuk menyertai mereka sebaliknya aku akan berdiri teguh di belakang menyokongnya.

           “Awak boleh keluar, Harith. Kami juga mahu keluar,” putusku kerana mahu merasai pengalaman menjejakkan kaki ke tanah Baitulmaqdis atau Jerusalem yang menjadi rebutan penganut Islam, Yahudi dan Kristian sejak ribuan tahun dahulu. Rugi besar kalau aku tidak menghirup sendiri udara di tempat pertemuan tiga agama yang dianggap paling berharga di mata dunia.

         “Saya ikut awak berdua,” laung Harith dari belakang ketika melihat kami sudah meninggalkannya. Dia melajukan langkahnya untuk mengiringi kami.

            “Tak perlu Harith. Kami boleh jaga diri sendiri, kan Legan?” Aku mencuit Legan, memaksa dia mengiyakan.

“Tapi awak berdua di bawah tanggungjawab saya,” sanggah Harith tidak bersetuju.

             “Kita tidak lama di sini. Untuk tempoh singkat ni kami boleh awasi satu sama lain. Lagipun awak tentu mahu laksanakan tanggungjawab yang lebih penting dari menjaga kami bukan?” 

Harith mengerut dahi. “Tanggungjawab lain?”

              “Apalah gunanya menjejakkan kaki di masjid ini jika tidak bersujud di dalamnya. Awak tentu tidak mahu melepaskan peluang solat berjemaah dengan para mujahid di sini,” ujarku menyogok Harith. Aku melemparkan pandangan ke arah para pemuda tadi yang beransur-ansur memasuki masjid. Waktu solat pastinya sudah tiba kerana itu mereka tergesa-gesa meninggalkan perbualan dengan Pengerusi PBB yang baru bermula lalu menyahut seruan azan dahulu.

               “Awak pasti awak tidak akan apa-apa?” soal Harith sekali lagi ketika dia sudah mahu memijak tangga masjid. Aku menjawab soalannya dengan senyuman. Harith menghilang di sebalik pintu setelah yakin dengan jawapan aku. 

             Sepanjang peninggalannya, aku berjalan menjauhi pemimpin pemimpin negara yang sedang berbincang sesama mereka termasuklah Presiden Israel lalu menuju ke bangunan yang dijadikan tempat menimba ilmu bagi kanak-kanak kecil. Bangunan usang yang dipenuhi kesan bedilan peluru ini tidak selayaknya digelar sekolah dan jumlah pelajarnya juga boleh dibilang dengan jari. Kakiku tertarik untuk melangkah ke sana kerana suara nyanyian kanak-kanak yang sangat bersemangat. 

                Legan berjalan berdampingan denganku. 

“Mereka sedang menyanyikan lagu tentang mempertahankan agama dan negara mereka.” 

               Dia berbisik setelah kami berdiri di sebelah bilik darjah yang sempit itu. Lebih kurang 15 orang pelajar berusia sekitar 6 hingga 7 tahun sedang bernyanyi dengan girang walaupun ada antaranya yang hampir terlelap dan ada juga yang menunjukkan riak wajah lapar. Hanya seorang guru perempuan bertudung labuh berdiri di depan mereka. Beliau yang mengajar mereka mendendangkan lagu penaik semangat tersebut dan sesekali turut bernyanyi bersama.

               Sesaat dua aku ralit memerhati satu persatu kanak-kanak comel yang kebanyakannya berambut perang. Wajah mereka sangat polos, sangat suci dan terlalu berharga untuk dibiarkan menderita di tengah-tengah kancah peperangan. Aku hanya tersedar dari keasyikan dibuai nyanyian mereka sebaik mereka berhenti menyanyi serentak dan bersedia untuk bangun dari kerusi kayu yang hampir tidak kelihatan macam kerusi.

               “Mereka menangguhkan pelajaran seketika kerana mahu ke masjid menunaikan kewajipan agama,” terang Legan apabila aku memandangnya meminta penjelasan. Lelaki ini boleh menguasai hampir kesemua bahasa di bumi kita, jadi untuk memahami bahasa Arab bukanlah sesuatu yang sulit baginya.

              Guru perempuan bertudung itu mengarahkan mereka beratur dan bergerak dalam barisan. Gelagat kanak-kanak tersebut begitu mencuit hati apabila ada yang terkinja-kinja melompat manakala ada pula yang malas untuk mengikut arahan. Di mana-mana pelusuk dunia pun,biar berlainan agama,bangsa dan budaya, satu-satunya yang tidak pernah berubah adalah kanak-kanak dan kerenah mereka.

               Sedang aku tersenyum sendirian memerhati tingkah laku mereka, mataku terperasan seorang kanak-kanak perempuan berambut kerinting perang merenung tajam ke arah aku. Lagaknya macam baru lepas nampak hantu. Mata bulat dia dibuntangkan sebesar-besarnya. Semua kanak-kanak lain sudah bersedia untuk bergerak dalam barisan menuju ke masjid. Hanya dia seorang saja yang masih berdiri kaku di tepi meja merenung aku. Serta merta senyuman aku mati sendiri.

“Legan, kita tak buat apa-apa yang salah kan?” tanyaku sedikit cuak.

              Legan menggeleng namun gelengannya tidak mampu mengusir rasa bimbang di hati aku. Mengapa kanak-kanak itu memandang aku seperti ternampak sesuatu yang mengejutkan?

“Tahierah, apa yang kamu tunggu lagi? Kamu tidak mahu bersolat bersama rakan-rakan?” 

              Guru perempuan tadi memanggil anak muridnya yang masih tercegat dalam kelas.
Spontan kanak-kanak comel yang dipanggil Tahierah itu berlari menuju ke arah gurunya. Dia mencapai tangan guru perempuan itu lalu mengoncang-goncangnya beberapa kali sambil berkata sesuatu dalam nada yang amat teruja. Keterujaannya tidak dikongsi oleh aku kerana dia menuding jari ke arah aku sewaktu memberitahu gurunya perkataan yang aku langsung tidak faham.

                “Wahai ustazah, kakak itu adalah bidadari putih yang saya nampak dalam mimpi. Kakak di luar sana!” seru Tahierah dalam nada yang lebih ceria dari ketika dia bernyanyi tadi.

Aku toleh ke arah Legan dengan muka pucat.

 “Adakah dia beritahu guru dia yang kita musuh mereka?” soalku takut-takut. 

         Mungkin aku patut memakai selendang yang diberikan Dr Aqeelah sebelum keluar dari van  supaya tidak terlalu ketara di mata mereka bahawa aku orang asing.

“Tidak,” balas Legan sepatah. Dia memandang aku dan kanak-kanak perempuan itu silih berganti. Jawapan Legan melegakan aku namun rasa bimbangku masih bersisa.

“Jadi apa yang dia cakap?” tanya aku tidak sabar untuk tahu.

           “Dia cakap...” Legan berjeda di situ. Apa yang tersembunyi di sebalik mata birunya tidak tertafsir dek naluriku. Dia merenung aku lama sebelum akhirnya memberi jawapan. 

             “Dia cakap awak akan kelihatan lebih cantik kalau pakai baju putih.” 

             Aku menghembus nafas lega. Walaupun ianya kedengaran tidak masuk akal apabila difikirkan semula lagak terujanya tadi tetapi sekurang-kurangnya dia tidak menganggap aku musuh mereka.Bagi aku, itu sudah cukup.






May Peace Be Upon Us.

 

Live,Laugh,Die Emotionally!

No comments:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat