Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Thursday, May 9, 2013

Excerpt For Dear Mr Salvatore Part 15.






Tangan yang dihulurkannya bersambut. Kami bersalaman. 

“Saya lebih tua dari awak tapi awak boleh panggil saya Fifi saja.” 

Ringkas dia memperkenalkan diri. Tidak terdengar pelat loghat negerinya dalam setiap tutur bicara. Fifi. Aku menyebut nama itu dalam hati. Setelah tiga tahun, kini baru aku dapat tahu nama Mrs Salvatore. Cantik nama itu. Selembut wajah pemiliknya yang sedang merenung aku seperti mahu mencari sesuatu yang penting . Dari tadi lagi dia tidak mengalihkan pandangannya.

“Kenapa?” tanyaku didorong rasa rimas oleh renungan aneh itu.

 Fifi tersenyum cuba menutup kekalutan hati sebelum cepat-cepat melarikan pandangan ke arah Ariel yang sedang leka bermain. Dia menghela nafas panjang seakan ingin mengurangkan beban berat dalam hati.

“Saya mahu mencari sebab kenapa saya tak boleh menewaskan awak. Saya mahu tahu apa lebihnya awak dan apa kurangnya saya,” beritahunya lambat-lambat sekaligus menjelaskan kemusykilan aku tadi. Sedikit hairan aku mendengar kata-kata dia. Siapa yang menewaskan siapa sebenarnya?

“Tapi sekarang saya rasa saya dah tahu sebabnya,” Fifi menyambung dengan rasa teruja. 

Entah kenapa aku rasa dia berpura-pura teruja untuk menutup hati yang terluka. Perasaan itu semakin kuat apabila dia tersenyum namun ketara di mataku betapa hambarnya senyuman perempuan bernama Fifi ini.

“Saya seorang perempuan yang baik,” kata-kata dia seterusnya membuatkan aku sedikit tercengang. Adakah perempuan ini sedang memuji diri sendiri?

“Saya seorang perempuan yang baik. Itu yang saya percaya selama ini. Saya dari keturunan yang baik-baik. Keturunan yang kuat pegangan agamanya. Saya diberi pendidikan agama terbaik. Saya seorang penghafaz Al-Quran, setiap patah ayatnya saya tahu, setiap lenggok qiraat bacaannya saya boleh alunkan. Saya menghafal ilmu hadis, sirah nabi semuanya dalam genggaman saya.Ilmu agama saya cukup untuk melayakkan saya jadi ustazah. Saya menjaga solat lima waktu saya dan tidak pernah meninggalkan amalan amalan sunat. Saya ada rupa, ada harta, ada agama dan baik asal usulnya. Semua ciri-ciri yang ada melayakkan saya untuk jadi calon isteri terbaik bagi mana-mana lelaki. Saya memberati aurat saya, menjaga tutur kata dan tingkah laku sebaik-baiknya. Beritahu saya Anna, apa lagi yang diperlukan seorang lelaki selain seorang wanita solehah untuk menjadi isterinya?” Dia pandang aku menagih jawapan. Seketika aku terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan selepas mendengar apa yang keluar dari mulutnya.

“Awak memang seorang perempuan yang baik, Fifi. Saya percaya itu.” Ulasku sejujurnya.

Kalau dia tidak seperti apa yang disebut, mustahil Mr Salvatore membuang aku ke tepi untuk bersama perempuan ini. Kalau dia tidak baik, mustahil Mr Salvatore dengan yakinnya menguis cinta kami dengan kaki kerana mahu mengahwininya.

Bercinta selepas nikah, saya percaya itu. Walaupun dia tidak mencintai saya, saya percaya dia akan mencintai saya kerana Tuhan selepas kami berkahwin. Saya yakin saya perempuan yang terbaik untuknya, yang boleh membahagiakannya, yang sanggup bersama dia menegakkan syariat Islam, sama-sama mengajak pada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Saya dah berusaha  menjadi isteri paling baik untuk dia, paling taat dan paling cantik di matanya. Tetapi saya tidak mampu menjadi seperti awak Anna. Sebab itu walaupun selepas saya dah bagi yang terbaik dan buat yang terbaik, saya masih gagal mendapatkan tempat di hatinya.” Fifi tunduk menekur lantai seolah-olah cuba mengukur kekecewaan yang diluahkan melalui kata-kata.

“Kenapa awak perlu jadi seperti saya? Awak dah menang, awak dah berjaya menewaskan saya. Dia memilih untuk mengahwini awak bukannya saya. Awak sepatutnya bergembira bukannya kecewa. Apa lagi yang awak kesalkan?” soalku hairan. Sungguh aku tidak memahami hati wanita ini meskipun aku sendiri seorang wanita.

“Awak tahu Anna, saya selalu percaya lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Sebab tu saya yakin saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan mengambil dia dari awak. Saya yakin ini takdir yang ditetapkan Tuhan untuk kami. Dia adalah pemilik tulang rusuk kiri saya. Dia jodoh saya. Tuhan sentiasa tahu kejahatan yang dizahirkan ataupun yang tersembunyi. Walaupun saya meyakinkan diri saya bahawa saya tidak berniat merampas dia dari awak, Tuhan tahu di dalam hati saya, saya bersorak kemenangan atas kekalahan awak. Saya memasang impian untuk berbahagia sedangkan saya telah membuatkan awak menderita. Perempuan yang ketawa atas air mata perempuan lain tidak akan pernah gembira. Dia tidak akan pernah mengecapi kebahagiaan.” Fifi melepaskan keluhan berat selepas mengucapkan itu. Dia tersenyum kesal.

Lama dia diam. Rasanya dia menangguh perbualan kami bagi menenangkan diri sendiri. Memikirkan itu, aku juga membisu. Tidak berhasrat membuka mulut sebelum dia menyambung semula bicara yang terhenti.Entah kenapa tiba-tiba aku jatuh kasihan pada perempuan ini apabila terpandang penyesalan yang amat berat terlukis di segenap riak wajahnya. Seolah-olah beban kesalahan yang ditanggungnya lebih berat dari penderitaan aku. 

Terlupa aku yang waktu pertama kali aku mengetahui bahawa dia adalah calon isteri Mr Salvatore hampir sahaja perempuan ini makan penampar percuma aku . Aku tidak rasa Fifi lupa akan kejadian itu. Masakan dia lupa apabila aku menerpa ke arah dia dan menjerit ingin membunuhnya macam orang hilang akal. Kalau tidak disebabkan tindakan pantas Mr Salvatore merangkul aku, tidak dapat kubayangkan apa akan terjadi pada perempuan ini.

“Saya tidak kesal apabila dia menceraikan saya tetapi saya terkilan kerana saya rasa saya ada lebih banyak kelebihan dari awak. Saya lebih baik tapi kenapa awak yang selalunya menang di mata dan di hati dia? Setiap hari saya bertanya diri saya soalan yang sama. Bila saya jumpa awak hari ini dan lihat awak bukan dari mata isteri dia tetapi dari mata saya sendiri, baru saya nampak sebabnya. Baru saya tahu kenapa dia sentiasa mengulangi yang saya tidak akan boleh jadi seperti awak,” tuturnya memberitahu dalam nada rendah. 

Namun aku rasa seperti baru terdengar pekikan yang dahsyat kerana berita yang baru disampaikannya tidak terjangkau dek fikiranku. Ianya begitu mengejutkan sampai aku rasa dunia di sekelilingku berhenti berputar serta semua objek bergerak menjadi pegun.

“Awak dan dia...” aku tidak mampu menghabiskan soalan yang ingin ditanya.

 Dengan rasa tidak percaya yang menggunung tinggi, aku memandang Fifi. Bagaikan mengerti apa yang sedang bermain di fikiranku, dia mengangguk beberapa kali untuk meyakinkan aku bahawa aku tidak tersalah dengar. Rasa terkejutku ketika ini seribu kali ganda lebih banyak dari ketika mengetahui berita perkahwinan mereka.

“Tempoh perkahwinan kami cukup singkat. Kadang-kadang saya lupa yang kami pernah berkahwin,” jelas Fifi lebih lanjut. 

Sepatutnya aku bersorak-sorai gembira meraikan berita ini. Sepatutnya aku memukul canang lalu memberitahu seisi dunia bahawa aku telah menang di luar pengetahuan sendiri. Namun entah mengapa hatiku yang kukira sudah hancur kini mulai merasa kesakitan akibat kehancuran itu. Kemenangan yang paling besar ini aku rasa adalah kekalahanku yang paling teruk. Kenyataan bahawa tempat Mrs Salvatore kini telah kosong bagaikan tidak membawa apa-apa makna lagi bagiku.

“Kenapa?” Soalan itu kulontarkan bersama hati yang pedih. Tiga tahun aku simpan tangisan kerana enggan menangisi kebahagiaan lelaki yang aku cinta separuh mati. Tiga tahun aku sembunyikan hati yang terluka kerana aku percaya lelaki itu sedang bergembira. Kalau mereka tidak bahagia, sia-sialah penderitaan aku selama ini.

Seorang perempuan tahu apabila suaminya memandang dia tetapi nampak perempuan lain di matanya. Dia sentiasa nampak awak, Anna. Awak ada di dalam mata dan juga hatinya. Jika dia sentiasa melihat awak, beritahulah saya di mana saya mahu menyelitkan diri saya? Dia mencintai awak begitu banyak sampai saya tak jumpa ruang untuk menempatkan diri saya dalam hatinya. Walaupun kerana agama dan Tuhan dia tidak boleh memaksa dirinya mencintai saya. Benar, dia boleh berpura-pura tapi saya tidak mahu terus hidup dalam bayangan awak.”

Fifi berjeda. Dia memandang aku. Aku pula sudah tidak tahu apa yang harus kukatakan. Otakku sudah mogok dari menyusun kata-kata kerana rasa kecewaku sekarang lebih berat berbanding apa yang Fifi rasa. Apa sebenarnya yang kami bertiga buat selama ini apabila masing-masing berdepan dengan penderitaan walaupun telah banyak pengorbanan yang diberi?

“Sudah lama saya ingin berjumpa awak Anna. Saya mahu melihat perempuan yang saya tidak boleh ambil tempatnya di hati suami saya sendiri. Apa yang dikatakan dia memang benar Anna. Saya tidak mungkin boleh mengambil tempat awak. Dia pernah berkata bahawa Anna yang dicintainya adalah perempuan yang sangat istimewa. Lain dari yang lain. Perempuan itu akan berjalan dengan cahayanya sendiri apabila semua orang menangis ketakutan dalam gelap. Dia tidak akan berhenti berjalan walau cahaya matahari sudah tiada. Dia tidak mahu mengalah kerana dia sangat ego. Dia akan berjalan dengan megah sampailah ke penghujungnya. Tetapi di sebalik semua keburukan dan sifat egonya, perempuan istimewa itu tidak sedar sebenarnya dia telah menyelamatkan semua orang yang ketakutan dengan cahaya yang dibawanya. Bagaimana saya boleh terfikir untuk mengambil tempat awak Anna apabila saya tidak mampu untuk jadi perempuan seistimewa itu?”

Mr Salvatore terlalu memuji aku. Dia mengangkat kedudukan aku ke tempat paling tinggi sedangkan aku tidak layak untuk itu. Aku tidaklah sekuat yang digambarkannya. Pernah aku seperti mahu berputus asa dan enggan bangun semula apabila terjatuh berkali-kali. Pernah aku rasa mahu merangkak saja kerana aku takut untuk bertatih dan berjalan semula selepas melalui semua kehilangan itu. Pernah aku terfikir untuk berhenti bernafas dan mati selepas dia meninggalkan aku.

“Dia tinggalkan saya untuk berkahwin dengan awak. Saya selalu percaya yang dia buat begitu sebab mahu mengejar kebahagiaan dia sendiri. Nampaknya saya silap. Sekarang saya dah tak boleh memikirkan alasan untuk mewajarkan tindakan dia. Saya tak tahu nak fikir apa tapi saya harap dia tahu apa yang dia buat.”

“Jangan salahkan dia, Anna. Dia tak salah. Ini bukan pilihan dia. Ini bukan salah sesiapa tetapi takdir yang sudah ditetapkan untuk kita,” Fifi sungguh-sungguh menegaskan itu. Aku tersenyum mendengar bagaimana dia cuba mempertahankan Mr Salvatore.

“Saya tak salahkan dia lagi,Fifi. Saya juga tak salahkan awak lagi. Saya pun tak percaya yang saya akan mengatakan ini tetapi saya dah memaafkan awak,” akuiku seraya menoleh ke arah Fifi untuk melihat reaksinya.

 Pengakuan itu datang dari hati aku tanpa paksaan. Fifi nampak tergamam. Dia mengambil sedikit masa untuk memahami apa yang baru kuucapkan sebelum membalas senyumanku. Sewaktu kami hendak berpamitan, Fifi memeluk aku seperti dia memeluk saudara seagamanya. Aku dapat merasakan keikhlasan dan kemesraan itu. Dia mengulangi ucapan terima kasih biarpun aku rasa ianya tidak perlu. 

Awak tak mahu tahu kenapa dia membuat pilihan yang menyakitkan dia sendiri Anna?”
Lekas-lekas aku menggeleng. Sekalipun aku tahu, kebenaran itu tidak akan mengurangkan rasa sakit yang telah aku rasa. Dan setelah aku tahu, aku bimbang ia hanya akan menambahkan kesakitan yang sedia ada.

“Awak pernah tengok filem Sekali Lagi?”

“Tak, saya tak berapa minat tengok filem Melayu,” aku jawab juga biarpun terasa aneh dengan soalan yang tiada kaitan itu. Kalau filem alien atau aksi ngeri, tentu aku orang pertama yang membeli tiket di pawagam.

“Saya akan doakan kebahagiaan awak Anna,” ujar Fifi dalam nada paling ikhlas. Aku angguk.

“Saya pun akan berdoa untuk awak.” Dan untuk Mr Salvatore juga, aku menambah dalam hati.





May Peace Be Upon Us.

Live,Laugh,Die Emotionally!

No comments:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat