Kejutan ini
terlalu hebat untuk aku terima. Aku tidak dapat merasai sama ada jantung aku
masih berdegup atau sudah berhenti kerana terlampau terkejut. Nafasku terlalu
laju sampai tidak terhitung lagi. Hampir setengah jam aku terduduk di lantai.
Sebelah tangan memegang buku hitam milik Legan dan sebelah lagi menggenggam
kemas seutas rantai kepunyaanku. Memang tiada kaitan antara keduanya dan memang
sepatutnya tidak ada kaitan langsung. Tetapi apa yang tertancap pada pandangan
mata aku sekarang menafikan hakikat itu.
Aku sedang melihat simbol yang terdapat pada
buku Legan dan loket rantai aku. Ianya bukan sesuatu yang mengelirukan.
Kebenarannya jelas terpampang di depan mata. Kedua-dua simbol pelik itu adalah
sama. Selama ini aku tidak pernah perasan malah aku tidak pernah terfikir
mengenainya kerana rantai itu tidak pernah aku keluarkan dari kotak
simpanannya.
Rantai itu
satu-satunya barang yang ada pada aku semasa aku ditemui di gereja. Boleh
dikatakan ianya satu-satunya petunjuk untuk membawa aku kepada ibu bapa
kandungku. Namun harapan itu terkubur begitu saja bertahun lepas kerana selain
simbol pelik yang terukir di atas loket, tiada apa-apa petunjuk lagi yang dapat
kukesan.
Malah kemana-mana pun kedai barang perhiasan yang aku tuju untuk
bertanya, semua pakar barang kemas dan pemilik kedai menafikan mereka pernah
mengukir simbol yang sama di mana-mana barang perhiasan. Menurut mereka lagi,
itulah kali pertama mereka melihat simbol seumpamanya.
Ada juga
yang berminat untuk membelinya dan menawarkan harga yang tinggi. Alasan mereka
loket itu sangat unik dan berharga kerana tiada siapa yang boleh mengukir
simbol pelik itu di dalam sebutir batu permata seakan kristal akuamarin yang
sangat cantik. Mineral warna azul itu berkilauan dan kelihatan hidup seperti
dasar lautan biru yang sentiasa bergerak walaupun ianya sebutir batu yang
pejal.Lebih dari itu, seorang pembuat barang perhiasan pernah membisikkan
sesuatu yang membuatkan aku kagum.
“Kalau ada
pakar barang kemas terkenal mengaku dia yang mengukir simbol ini, saya akan
mengutuknya sebagai penipu. Awak tahu kenapa?” Dia sengaja berjeda sejenak
sebelum meneruskan.
“Sebab
simbol ini bukan diukir. Malah tiada mana-mana pakar ukiran barang kemas yang
paling handal pun yang boleh membuat ukiran sebegini kerana simbol ini berada
di dalam permata. Untuk mengukir kami terpaksa menghiris batu permata dan ia
akan meninggalkan kesan. Tetapi tiada sebarang kesan kerosakan berpunca dari
ukiran atas loket awak,” beritahunya dengan rasa teruja. Entah apa yang
menjadikan dia begitu teruja aku tidak tahu.
“Jadi?”
soalku sedikit keliru dan terumbang-ambing untuk memahami penjelasannya tadi.
Dia
mendekatkan mulut ke telingaku mahu berbisik seolah-olah ianya rahsia besar
negara. Sambil matanya melingas memandang kiri kanan untuk memastikan tiada
yang berada berdekatan kami, dia mula membuka rahsia dari pengalaman bertahun
sebagai pakar pembuat barang perhiasan.
“Saya ada
dua andaian di sini yang mungkin awak mahu dengar. Satu, simbol itu memang
terhasil dari dalam batu permata sendiri. Kalau begitu, maknanya awak sangat
bertuah untuk memiliki permata ini yang belum pernah ditemui siapa-siapa. Awak
boleh menjualnya kepada saya dengan harga yang tinggi atau melelongnya dengan
harga yang tidak dapat awak bayangkan. Dan kedua...ini sekadar teori saya
sahaja tetapi saya rasa ada kemungkinan simbol sebegini diukir oleh bukan manusia.”
Aku hanya
ketawa saat dia mengungkapkan teorinya yang bagiku tidak masuk akal namun
sekarang semuanya mulai diterima akal. Simbol itu memang bukan kerja tangan
manusia. Legan. Sekilas dari ekor mata aku terpandang lelaki itu tercegat kaku
di halaman rumah sewaku. Aku sedia maklum dia memang suka menengadah muka
memerhati langit tetapi sejak akhir-akhir ini kurasa dia menghabiskan masanya
terlalu kerap untuk aktiviti itu. Tidak pula kutimbulkan rasa curiga aku di
hadapannya walaupun aku hatiku dihimpit perasaan tertanya-tanya.
Saat ini,
sepertinya aku sudah tidak mampu membendung rasa ingin tahu lebih lama. Lebih
penting lagi, aku perlu mendapatkan kepastian berhubung simbol misteri yang
menjadi tanda tanya di benakku sejak dahulu.
“Legan,
beritahu saya apa sebenarnya ini?” soalku enggan bertangguh lagi.
Aku menerpa
ke arah dia sebaik kakinya melangkah memasuki rumah. Legan mempamerkan riak
wajah bersahaja seperti selalu. Dia tidak kelihatan tersentak dengan tindakan
spontan mahupun soalan aku.
“Beritahulah
saya Legan. Saya perlu tahu apa yang awak sembunyikan dari saya selama ini,”
desakku lalu menayangkan simbol loket aku di depannya.
Anak matanya mengekori
loket itu. Lama dia bagai terpaku memandangnya sebelum kembali menatap aku.
Walaupun tiada reaksi terkejut pada air mukanya tetapi aku terkesan anak mata
dia yang membesar sebaik melihat simbol yang kutunjukkan. Ini mengesahkan
andaianku bahawa dia tahu sesuatu. Suatu rahsia penting yang diselindungkan
dari pengetahuanku sejak dari mula kami bertemu.
“Apa yang
awak mahu tahu Anna?” tanyanya kembali bersama pandangan tenang.
“Beritahu
saya semuanya Legan,” sungguh-sungguh aku mendesaknya ketika itu kerana rasa
ingin tahuku tidak tertahan lagi.
Legan
menggeleng. “Semuanya terlalu banyak dan terlalu subjektif. Saya hanya akan beritahu apa yang awak mahu
tahu.”
“Saya mahu
tahu semuanya Legan. Semuanya. Beritahu semuanya kepada saya sekarang!” balasku
dalam nada memaksa. Legan diam. Mungkin dia sedang berfikir apa yang mahu
diceritakannya kepada aku. Prasangka jahatku membisikkan yang dia sengaja
menyepikan diri kerana enggan membenarkan aku tahu apa-apa. Lagipun selama ini
juga dia selalu membisu apabila aku bertanyakan soalan yang aku ingin tahu.
Diselubungi
perasaan geram, aku menghampirinya lantas berdiri betul-betul dekat dengan dia.
Kedua-dua tangan aku bertindak menggenggam baju yang dipakainya. Legan tidak
cuba melepaskan bajunya dari genggamanku.
Dia sekadar menatap aku dengan
ketenangan yang tidak terusik sedari tadi. Aku tidak peduli lagi kalau apa yang
aku lakukan ini menyakitkannya. Aku tidak peduli lagi seandainya dia mahu
mengamuk lalu melenyapkan bumi dari sistem suria sekalipun. Apa yang lebih
penting bagi aku sekarang adalah untuk memuaskan rasa ingin tahuku. Aku perlu
tahu apa yang dia sembunyikan selama ini.
“Siapa awak
sebenarnya Legan? Beritahu saya!” aku bukan lagi bertanya sebaliknya sudah
menjerit kuat di hadapannya.
Legan tidak menjawab. Dia tidak bersuara. Dia
tidak berbuat apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri dan memandangku. Lelaki ini
sungguh mengecewakan. Untuk memberi satu jawapan yang mudah pun dia tidak
mampu. Sebenarnya bukan tidak mampu tetapi lebih kepada tidak mahu. Rasa hampa
bergulung-gulung menenggelamkan perasaan ingin tahu.
Sedetik dua
aku turut menyepi. Hanya mata kami yang saling bertingkah. Mata aku yang penuh
dengan amarah dan kecewa manakala mata Legan pula kosong tanpa emosi. Merenung
mata biru itu dalam-dalam aku bagai tersedar akan sesuatu. Lambat-lambat aku
melepaskan genggaman tangan kemudian membetulkan bajunya.
“Siapa saya
sebenarnya Legan? Siapa saya di dalam kehidupan awak? Adakah kita pernah
bertemu sebelum ini?” soalku dengan nada suara biasa. Aku tidak lagi menjerit
atau memaksanya seperti tadi. Bukan kerana rasa ingin tahuku telah mati begitu
saja tetapi kerana aku sedar aku telah tersalah menafsir apa yang aku mahu
tahu. Yang cuba dirungkaikan mindaku bukan persoalan tentang dia sebaliknya
tentang diri sendiri. Siapa aku sebenarnya?
“Awak tahu
siapa diri awak Anna. Itu soalan yang tidak perlu saya jawab,” balas Legan
menambah cuka dalam perasaan kecewa aku. Biarpun jawapannya jujur tetapi bukan
itu yang aku mahu dengar. Persoalan mengenai siapa diriku belum menemui
kepastian.
“Ya, saya
tahu saya Anna Maria. Sekadar tahu nama tidak memberi apa-apa makna Legan.” Aku
melepaskan keluhan panjang. Kalau perasaan kecewa adalah objek yang boleh disentuh pastinya
sudah berceracak bongkah-bongkah kecewaku di hadapan lelaki ini.
“Manusia
memang makhluk yang kompleks. Bangsa awak lebih suka merungkaikan sesuatu yang
sulit dari mengembangkan sesuatu yang ringkas,” komen Legan.
Ulasan itu memang
tidak diharapkan maka aku tidak rasa perlu untuk aku berterima kasih.
“Semua
benda akan berkembang sendiri Legan. Saya tidak rasa perlu untuk kita
mempercepatkan proses itu. Lagi cepat kita memaksanya berkembang, lagi cepat ia
akan sampai ke penamatnya. Semua benda yang berkembang akan berhenti suatu hari
nanti. Seperti juga manusia, kami membesar, berkembang, mengalami perubahan,
menjadi tua lalu mati.”
Sepertimana
juga teori Big Bang mengenai kewujudan alam semesta. Semua jasad dan bintang di
luar angkasa sana dikatakan bermula dari saiz lebih kecil dari sebutir beras
yang kemudiannya berkembang dan membesar.
Satu hari nanti, ia juga akan
berhenti lalu mati.
Kebanyakan
saintis berpendapat alam semesta ini akan mengecil semula menjadi sebutir beras
sebagaimana ia bermula tetapi bagi aku, penyataan mudah mengenai teori mereka
adalah berlakunya proses penuaan kemudian diakhiri dengan kematian. Walaupun
kedengaran pelik dan mungkin masih ada yang tertanya-tanya bagaimana alam
semesta boleh mati begitu saja namun tidak perlu terbit sebarang keraguan
tentang ini. Ia bukan sekadar satu teori. Semua yang berkembang perlu berhenti
juga lambat laun bukan?
Setiap yang bermula ada penamatnya.