Saudara perempuanku
yang adakalanya kurindui,
Pahatkanlah pesanan
aku ini di sudut hati kau yang paling kukuh supaya ianya tidak mudah pecah
apabila hati kau dihancurkan seorang lelaki. Pesan aku; jagalah hati, mulut dan
nafsu amarah serta hasad dengki kau baik-baik. Jagalah aurat roh kau sepertimana
kau menjaga aurat jasad kau. Kerana roh tanpa jasad adalah tidak berguna dan
jasad tanpa roh adalah tidak bernyawa. Janganlah kau suka bermuka-muka dan
bermulut manis biarpun hati kau sudah menggelepar kepahitan. Janganlah kau
membawa mulut menyebarkan fitnah dan mengumpat keji di belakang orang yang kau
sudah akui sebagai sahabat. Suka untuk aku ingatkan kau sekali lagi bahawa
tiada istilah sahabat sejati, sahabat hidup dan mati dalam kalangan kita, kaum
perempuan. Kau boleh menyelar, membantah, mencaci aku kerana mengatakan
sebegitu namun itu adalah hakikatnya walaupun kau mahu bermati-matian bersumpah
yang si polan binti si polan adalah sahabat baik kau, BFF (what the fuck)
sejati kononnya. Sekiranya kau berjaya membuktikan penyataan aku salah, maka
aku dengan ini secara sukarelanya akan menghadiahkan kau satu batang Choki
Choki vanila coklat atau Chupa Chups perasa vanila (pilih yang mana kau suka).
Saudaraku, dalam
kehidupan ini kita akan sentiasa diuji. Dugaan, cabaran dan bermacam ujian lagi
yang menunggu kau kelak di masa hadapan atau selepas ini. Yang Maha Pemurah
tidak akan menimpakan ke atas kau ujian yang kau tidak mampu menanggungnya.
Yakinlah pada Dia. Bukankah sudah kita memberikan sumpah saksi setiap kali kita
mengucap dua kalimah syahadah iaitu, “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan
Dia.” Kerana kita bersumpah untuk beriman (percaya) kepadaNya, maka percayalah
setiap kata-kataNya yang diturunkan kepada kita dalam al-Quran. Percayalah pada
janji-janjiNya, sesungguhnya Yang Maha Pemurah tidak akan sesekali memungkiri
janji.
Serahkanlah
kepercayaan dan jiwa kau kepadaNya dengan sebenar-benar penyerahan. Maka dengan
demikian, kau tidak akan tersungkur, rebah mahupun meratap berpanjangan
seandainya Dia mengambil kembali sesuatu nikmat atau hamba-hambaNya yang
dipinjamkan kepada kau untuk seketika. Kekasih kau, ibu kau, bapa kau, saudara
mara kau hatta kucing kau yang tersayang sekalipun semuanya adalah kepunyaan
Yang Maha Pemurah. Termasuk juga diri kau dan aku. Bukankah Dia yang memegang
kunci-kunci langit dan bumi? Dan Dialah yang memegang jiwa-jiwa ketika matinya
dan yang belum mati di waktu tidurnya maka bukankah yang demikian itu berkuasa
bagi menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup?
Sesungguhnya segala
petunjuk dan cahaya adalah milik Dia. Maka janganlah kau khuatiri seandainya
ada yang keras hatinya dan enggan menerima kebenaran. Seandainya Yang Maha
Pemurah berkehendak, maka sudah tentu Dia akan melemparkan petunjuk ke dalam
setiap hati manusia supaya semuanya akan tunduk kepadaNya yang satu. Tetapi
Yang Maha Pemurah sudah memberi janji bahawa di neraka nanti terdapat golongan
manusia dan juga jin. Mereka yang sudah dipalingkan hatinya dari kebenaran,
yang sudah dipasung kakinya, ditutup mata dan digelapkan hatinya, mereka yang
demikian sememangnya sudah dikehendaki Yang Maha Pemurah untuk bergelumang
dalam kesesatan serta bergembira dengan kesenangan dunia yang hanya sedetik
cuma. Bagi kita pula, janganlah menongkat langit, sebaliknya sentiasalah berdoa
agar Yang Maha Pemurah tidak mengambil kembali petunjuk yang diberikan kepada
kita kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Saudara perempuanku
yang sesekali kukasihi,
Tujuan aku
menyampaikan semua kata-kata ini kepada kau biarpun kau rasa bosan membacanya
adalah semata-mata untuk mengingatkan kau dan aku sendiri bahawa neraka itu
maha dahsyat. Ianya adalah kediaman terburuk dan paling mengerikan. Penuh
dengan seksaan, suara-suara keras para malaikat, bahan-bahan bakaran yang
antaranya adalah manusia, dan ratapan memohon ampun yang tidak dipedulikan.
Penyiksaan demi penyiksaan yang tidak berhenti dan penghuninya juga tidak akan
mati sekalipun mereka merayu minta dimatikan. Kau tidak mungkin boleh
membayangkan betapa teruk dan siksanya kehidupan di sana.
Seandainya kalau kau
ketahui bahawa api neraka sangat panas sehingga warnanya hitam pekat. Seandainya
kalau kau dapat melihatnya, maka sudah tentu
kau akan diburu ketakutan berterusan untuk bermegah-megahan dengan harta dan
percakapan kau. Ya, ini bukan gurauan palsu. Ini bukan jenaka kosong
semata-mata. Kau tidak pernah mendengar aku menceritakan mengenai rahsia yang tersimpan kemas
sebelum ini bukan kerana aku enggan berkongsi sebaliknya aku berasa sangat
gerun sehingga bibirku tidak mampu menyusun ayat-ayat untuk disampaikan kepada
kau. Dan tahukah kau apa yang membuatkan aku terdiam lalu mengunci mulut untuk
masa yang lama? Ialah adalah kerana bayangan penghuni neraka yang dapat kulihat
sekilas. Perempuan. Ya, aku nampak kaum kita sedang melolong dengan api hitam
yang menjulang tinggi. Perempuan dengan rambut panjang mengurai(ala-ala teknik
rebonding). Kau rasa ini sesuatu yang lawak? Ya, kerana aku sudah boleh
bertenang maka aku boleh menjadikan ini lawak biarpun aku tidak memaksudkannya
begitu.
Ini adalah sebab
terutama mengapa aku mengingatkan kau supaya tidak sekadar menjaga aurat jasad
kau. Kerana banyak kaum kita yang menutup seluruh tubuhnya tetapi tidak
memelihara hati, nafsu dan percakapannya. Ya, aku sedia maklum kita dikurniakan
9 nafsu. Namun sekiranya golongan kafir pun tidak boleh memberikan alasan
bahawa mereka tidak mendapat petunjuk di hari pembalasan kelak, maka apakah kau
rasa kau boleh menjadikan 9 nafsu itu sebagai pendinding kau daripada api
neraka? Pada hari itu kelak, syaitan pun akan berlepas diri dari
bertanggungjawab terhadap manusia yang disesatkannya. Kata syaitan ,
“Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu pertuhankan dan kerjakan kerana aku sangat takut pada Allah SWT yang azabnya sangat keras lagi pedih.”
Lihatlah, syaitan memang makhluk yang paling keji dan handal dalam memutar
belit. Tetapi mereka tentunya tidak akan selamat dari api neraka seperti yang
kau sedia tahu.
Ini juga adalah sebab
mengapa aku berpesan kepada kau supaya tidak menganggap diri kau lebih baik
dari kaum Adam atau lebih tinggi kedudukannya dari manusia lain. Kerana kita semua
adalah hamba-hamba Yang Maha Pemurah, kita adalah satu umat iaitu umat manusia
dan Dia menjadikan kita berbeza-beza antara satu sama lain bukannya lebih baik
dari yang lain. Ingat kata-kata aku ini : Secantik, sebaik dan sekaya manapun
kau namun kau bukan malaikat yang berjalan di atas muka bumi. Yang Maha Pemurah
pernah menyebut dalam al-Quran bahawa “Kalaulah malaikat yang berjalan di atas
muka bumi ini, tentulah Kami(Allah) akan menurunkan malaikat juga sebagai
rasul.” Dengan itu sudah jelas bahawa kita semua adalah umat yang sama.
Saudara perempuanku,
syurga pula sepertimana yang sudah dijanjikan adalah sebaik-baik kediaman untuk
kita kembali. Aku hanya akan mengatakan sebaris ayat itu mengenai syurga kerana
aku mahu kau lebih banyak mengingati neraka dari syurga yang belum tentu
didiami kita. Kerana kaum kita amat banyak dalam neraka, maka aku mahu kau
merasakan ketakutan yang aku rasakan setiap hari. Janganlah kau meminta
kesenangan dan kemewahan di dunia berlebih-lebihan kerana kesudahan untuk orang
yang tamak pastinya bukanlah kesudahan yang baik. Sebagai kaum perempuan, nafsu
kita yang sembilan tidak akan mengizinkan kita berpuas hati dengan suami kacak,
rumah banglo, kereta Mercedes Benz E450 empat buah dan wang jutaan ringgit
dalam akaun bank. Kita sentiasa merasakan tidak cukup dengan apa yang kita
miliki.
Pesan aku, belajarlah menghargai dan
banyak-banyaklah bersyukur dengan apa yang kau ada. Kaum kafir memang selalu
terlihat lebih mewah dan kaya dari kita kerana mereka meminta untuk diberikan
kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah di dunia. Yang Maha Pemurah sudah
menjanjikan bahawa dia akan memberikan kesenangan dan kemewahan secepatnya
kepada sesiapa yang meminta bahagiannya di dunia. Tetapi kelak selepas itu,
neraka jahanam menanti mereka yang terleka menikmati kesenangan yang bersifat
sementara. Oleh itu, janganlah kau terlalu tamak menggesa dan merayu bahagian
untuk kau di dunia ini kerana bahagian di akhirat kelak adalah yang kekal
abadi. Yang Maha Pemurah adalah Maha Bijaksana. Dia lebih mengetahui apa yang
patut kau terima dan apa yang tidak patut. Bukankah Dia yang lebih berhak
menyempitkan pintu rahmat atau meluaskannya menurut kehendakNya? Jadi mengapa
kau masih merungut?
Saudara perempuanku
yang aku harap tali persaudaraan kita abadi,
Takutlah pada neraka
yang apinya teramat panas dan azab di dalamnya tersangat keras. Ya, aku boleh
mengulangi ayat ini seribu kali lagi dan aku memang berkeinginan berbuat
demikian. Kerana aku amat takut bagi pihak kau dan pihak aku dan juga pihak
kita. Alangkah malangnya kerana aku tidak boleh menunjukkan kepada kau apa yang
aku nampak. Bukanlah aku ingin berbangga mengatakan aku adalah orang terpilih
yang ditunjukkan terlebih dahulu azab di sana tetapi aku hanya sekadar
menyampaikan apa yang aku mahu sampaikan. Lagipun, mungkin jika dibandingkan
dengan kau, aku lebih banyak dosanya jadi aku terlebih dahulu diberi
peringatan. Namun tidak salah bukan kalau aku mahu meningatkan kau. Manalah
tahu kalau-kalau, kau terlebih dahulu dijemput menghadap Yang Maha Pemurah
tanpa diberi sebarang amaran tentang kehidupan di akhirat kelak.
Ada kata-kata indah
yang mengatakan kononnya kalau kau cintakan seseorang, kau harus melepaskan dia
pergi, jika dia kembali maka dia memang ditakdirkan untuk kau dan jika bukan
maka kau berdua memang tidak ada jodoh untuk bersama. Ada juga yang menyebut,
jika kau cintakan seseorang, kau harus berbahagia untuk dia sekalipun dia sudah
menjadi milik orang lain. Apa kata kau ketepikan sekejap kata-kata tersebut dan
fahami kata-kata aku pula. Menurut aku, kalau kau cintakan seseorang, kau tidak
akan mengheret dia ke neraka bersama. Kerana seorang lelaki belum tentu masuk
syurga jika isterinya sudah selamat menikmati syurga. Dan jika seorang
perempuan masuk neraka, dia akan mengheret suaminya yang mahu memasuki syurga
untuk bersama-sama dia. Kerana lelaki adalah pemimpin kita, maka pemimpin akan
dipertanggungjawabkan seandainya dia gagal memimpin orang yang harus
dipimpinnya. Jadi, jika kau sayangkan lelaki milik kau, pesan aku, cubalah
untuk tidak menarik dia masuk neraka bersama kau.
Saudara perempuanku,
ya aku sememangnya tahu kau lebih baik dari aku. Mungkin kerana kau melihat aku
masih seperti dahulu jadi kau merasakan bahawa aku tidak layak untuk berbicara
mengenai Tuhan dengan kau. Mengertilah aku tidak akan berpura-pura seperti
selebriti mahupun artis yang bila mahu berubah ke arah keinsafan akan
diwar-warkan secubit berita itu ke seluruh dunia. Aku bukan seperti mereka yang
bila tiba-tiba berpurdah meleret sampai ke tanah maka akan dikaitkan dengan
petunjuk atau mimpi dari Tuhan. Kau tahu bukan aku tidak boleh berpura-pura
baik jika hati aku tidak ikhlas? Ya, kau boleh katakan aku kedekut kerana apa
yang berlaku antara aku dan Tuhan aku memilih untuk tidak dikongsikan dengan
kau. Kerana bagi aku, perhubungan aku dan Tuhan aku adalah sesuatu yang sangat
suci untuk dijadikan tatapan umum. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya aku
bermurah hati untuk mengarang ini untuk disampaikan kepada kau. Sampai atau
tidak apa yang aku katakan itu kau tentukan sendiri kerana mata kau yang
membacanya dan hati kau yang memahaminya. Besarlah harapan aku agar ianya
sampai dalam keadaan dan maksud asal.
May Peace Be Upon Us.
Live,Laugh,Die Emotionally!
No comments:
Post a Comment