Mata comel
itu mengikut gerak geri tanganku yang sedang berura ura untuk menyuap makanan
miliknya ke dalam mulutku.
“Betul
Ariel tak nak makan?” soalku sekali lagi.
Budak lelaki sekitar usia 3 tahun di
hadapanku mengangguk pantas. Aku sangat suka melihat dia serta tidak pernah
rasa jemu melayani keletahnya. Kerana Ariel mengingatkan aku pada seseorang.
Mata comel dia dan hidung kecil itu seakan milik orang lain yang telah aku
kenal seumur hidupku. Waktu pertama kali bertemu dengan dia aku berasa seperti
sudah lama mengenali dia.
“Sedap
tau.” Aku masih tidak berputus asa untuk memujuk dia menghabiskan makanan yang
dipesan. Sayanglah kalau makanan ini terbazir begitu saja.
“Tak
nak,”jawabnya yakin. Aku menyuapkan makanan yang disudu ke dalam mulut. Sengaja
aku mengunyah dengan penuh nikmat. Tidak cukup dengan itu, aku mengeluarkan
bunyi seolah-olah aku sedang menikmati makanan paling lazat di dunia.
“Sedapnya.Ruginya
siapa yang tak dapat makan ni,” omelku bersungguh supaya Ariel dapat gambaran
bahawa makanan itu betul-betul sedap.
Dia tenung aku ketika aku menceritakan
kelazatan makanan yang kumakan. Melihat matanya tidak berkelip serta dia
mendengar penuh khusyuk sengaja aku menyuap makanan buat kali kedua. Kemudian
sambung lakonan mengunyah sehabis nikmat. Aku sembunyikan senyuman dalam hati
ketika perasan Ariel telan air liur. Mungkin dia teringin untuk menikmati
makanan sedap yang kukatakan setelah mendengar cerita tadi.
“Mak cik
habiskan ya? Ariel tak nak makan kan?” soalku seolah-olah tidak sabar lagi
untuk menghabiskan makanan kepunyaannya. Sengaja aku mendesak untuk melihat
sejauh mana dia sudah terperangkap dalam permainan psikologi aku ini.
“Ariel
nak...” serentak dengan itu cepat-cepat
dia menyuakan tangan meminta sudu dariku.
“Betul nak
makan?”
Aku suka memerhati muka comel itu kebingungan memikirkan sesuatu. Riak
wajah Ariel yang tenggelam dalam pemikiran sendiri membuatkan aku terpaku
sejenak. Aku pernah lihat riak wajah sebegini dahulu namun malangnya otakku
tidak dapat mengumpil cebisan memori mengenainya.
“Nak...”jawabnya
sungguh sungguh.
Kepalanya siap terangguk angguk mengiyakan apa yang diucap
mulutnya.
“Boleh
makan sendiri kan?”
Sebaik aku menghabiskan soalan, Ariel menggelongsor turun
dari kerusi lantas berlari mendapatkan aku. Dia mendepangkan kedua dua tangan
minta diangkat. Sedia maklum dengan apa yang dia mahu, aku mengangkatnya lantas
mendudukkannya di atas ribaan. Tidak perlu aku bertanya dia sudah nganga mulut
luas luas macam anak burung minta disuap.
“Kalau mak
cik suap, Ariel kena makan sampai habis semua ni,” aku membuat satu pusingan
dengan sudu mengisyaratkan semua makanan yang berada dalam pinggan termasuk
sayur-sayuran sekali.
Dia angguk kepala tanda faham. Aku senyum puas hati dan
mula menyudu makanan untuknya. Satu suap demi satu suap Ariel kunyah mengikut
gaya aku kunyah tadi. Mungkin cara itu membuat dia percaya bahawa makanan yang
berada dalam mulutnya menjadi lazat berkali ganda.
Memerhati
Ariel makan membuatkan aku tersedar sesuatu. Situasi begini tidak ubah seperti
aku sedang menyuap makan anak aku sendiri. Padahal suatu ketika dahulu, ketika
masih bersama Mr Salvatore, aku pernah bermati-matian menegaskan kepadanya
bahawa aku tidak mahu punya anak sampailah aku betul-betul bersedia. Tetapi
dengan Ariel di atas ribaan aku sekarang, rasanya mempunyai anak sendiri
tidaklah leceh sangat. Ia tidak seteruk yang aku bayangkan.
“Anna
Maria,” seseorang menegur aku dari belakang sesudah aku menyuapkan suduan
terakhir ke mulut Ariel.
Aku sedikit terperanjat kerana dia memanggil aku
dengan nama penuh tetapi tidak terus menoleh ke belakang sebaliknya menunggu
pemilik suara itu datang berdiri depan aku. Sudu di tangan terlepas sebaik aku
mendongak memandang dia. Berdenting bunyinya menghempap meja sepertimana juga
bunyi jantungku yang tidak keruan saat ini.
Aku tergamam. Betul-betul tergamam
sampai semua kata-kata bertempiaran lari. Berhadapan dengannya seperti
sekarang, aku hilang kata-kata. Lama kami berpandangan sesama sendiri kerana
masing-masing tidak tahu bagaimana harus membuka bicara.
“Mama!”
seruan gembira Ariel menyelamatkan aku dari terus hanyut dalam renungan tajam
perempuan itu.
Ariel kupandang dengan perasaan berbaur. Aku tidak pasti
bagaimana mahu mengasingkan seribu satu rasa yang berlegar dalam hati. Aku
tidak tahu rasa yang mana satu harus kupilih untuk Ariel. Untuk anak lelaki
yang kau cinta separuh mati, untuk anak lelaki yang meninggalkan kau untuk
berkahwin dengan perempuan lain, untuk anak lelaki itu apa perasaan yang kau
patut ada terhadapnya?
“Ariel
betul-betul sukakan awak. Lelaki yang saya cinta juga betul-betul mencintai
awak. Nampaknya saya akan sentiasa kalah
dengan awak, Anna Maria,” katanya tenang. Tiada kesinisan atau unsur dendam
walaupun ianya kedengaran menyakitkan hati.
Tujuannya
mengeluarkan kenyataan sebegitu memang tidak dapat diteka logik akal kerana
dialah pemenang. Dia yang berjaya menjadi juara walaupun aku yang bersusah
payah menempatkan diri di hati Mr Salvatore. Dialah pemenang sebenar manakala
akulah perempuan yang sentiasa kalah itu. Mengapa dia menukar tempat kami dalam
kata-katanya?
Aku bingkas
bangun dari kerusi lalu menghampiri Ariel untuk berpamitan. “Ariel, mak cik kena
pergi dulu. Nanti kita jumpa lagi,” kataku seraya mahu menyentuh dia tetapi
tidak jadi apabila memikirkan kenyataan yang aku baru tahu.
Ariel yang tidak
mengerti apa sedang berlaku masih menanti aku mengucup dahinya sebelum beredar
pergi seperti yang kulakukan pada kali pertama kami bertemu. Menyedari tiada
respons dariku, dia mencapai tanganku dengan jari kecilnya. Aku yang hendak
melangkah pergi merendahkan badan kembali.
Apabila
menatap mata comelnya, aku baru menyedari yang aku hampir melakukan sesuatu
yang bodoh. Kenapa aku perlu mengalihkan
perasaan sayang aku kepada anak kecil ini hanya semata mata kerana bapanya
pernah mengalihkan rasa cinta terhadapku kepada perempuan lain? Tiada siapa di
dunia ini yang perlu mengambil tanggungjawab untuk kesalahan orang lain. Ariel
juga tidak terkecuali. Perempuan yang berdiri di sebelah kami hanya memerhati
semasa aku mencium dahi anaknya. Satu kucupan di dahi membawa maksud kasih
sayang yang abadi. Kasih sayang sejati yang tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Begitulah kiranya perasaan aku untuk Ariel.
“Mak cik
pergi dulu. Lain kali
makan semua makanan, Ariel. Jangan memilih. Budak lelaki tak boleh cerewet
tau.” Aku mencuit pinggangnya sekali. Spontan dia terkekeh ketawa.
“Tunggu Anna.
Kita perlu berbincang,” ujar perempuan itu serius sekaligus mematikan langkahku.
“Tidak ada
apa-apa lagi yang perlu dibincangkan,”balasku tanpa menoleh.
“Saya mahu
bercakap dengan awak, Anna. Sebentar saja, saya tak akan ambil masa yang lama,”nadanya
bertukar rendah. Mahu melembutkan hatiku supaya akur dengan permintaannya mungkin.
Aku berpaling ke belakang semula. Menghadap perempuan yang merampas Mr
Salvatore dari aku. Tiga tahun lepas mustahil aku boleh berdiri sebegini tenang
di hadapannya.
“Tolonglah,
sebentar saja,” pintanya mengharap.
Aku merenung dia tajam. Perempuan ayu
bertudung litup ini adalah perempuan yang menyebabkan aku sengsara selama tiga
tahun lebih. Penderitaan selama lebih seribu hari itu mustahil boleh terhapus
begitu saja sekalipun dia berlutut merayu memohon kemaafan. Penyiksaan sebanyak
itu mustahil boleh dihilangkan bekasnya meski dia menyembah kakiku memohon
keampunan.
“Baiklah,”
aku memberi persetujuan. Hatiku sudah hancur seluruhnya tiga tahun lepas,
apapun yang mahu diberitahunya nanti tidak akan menyakitkan aku lagi. Dia
adalah Mr Salvatore aku tetapi perempuan ini adalah Mrs Salvatore miliknya.
Berkasih sayang dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain.
Mengungkap janji dengan orang lain tetapi mengikat janji dengan orang lain.
Bercinta dengan perempuan lain tetapi tidur dengan perempuan lain.Tidak ada
kisah cinta yang lebih ironi dari ini.
May Peace Be Upon Us.
Live,Laugh,Die Emotionally!
No comments:
Post a Comment