Bunyi yang
menggetarkan hati. Aku tidak pasti samada bunyi itu wujud atau sekadar teori
kosong. Apapun, aku tahu suatu bunyi yang aku suka dengar. Bunyi yang membelai
pendengaran seperti angin sepoi-sepoi bahasa membelai lembut pepohon hijau.
“Nama
tentera al-Qassam diambil daripada seorang ulama yang dikurniakan dengan
syahid, Muhammad Izzuddin Abdul Qadir al-Qassam. Beliau dilahirkan di Syria dan
pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun.
Sheikh Izzuddin berhijrah ke Palestin kerana beliau sedar rancangan jahat
Yahudi yang dibuat oleh organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland.
Dalam rancangan itu, mereka mencapai kata muktamad untuk membina sebuah negara
kebangsaan bagi masyarakat Yahudi di Palestin. Kesepakatan ini turut dipersetujui
serta disokong kebanyakan kuasa besar dunia terutamanya British.”
Buku nipis
di tangannya ditutup sebentar. Mr Salvatore menoleh ke arah aku untuk melihat
reaksi penerimaanku. Lebih dari itu dia mahu tahu sekiranya aku memahami apa
yang dikatakannya. Suara lelaki ini adalah bunyi itu. Bunyi yang sentiasa didambakan
pendengaran aku.
“Kau dengar
apa yang aku cerita ni sayang?” tanya Mr Salvatore seolah tahu yang aku
sebenarnya tidak memberi tumpuan terhadap pembacaan dia.
Aku lebih senang
termenung melihat dia dan menghayati keindahan pelat loghatnya. Cara dia
menyebut setiap patah perkataan bersama dengan pelatnya sekali terasa amat
sedap menampan gegendang telingaku. Lantaran itu, aku selalu bersembunyi di
sebalik permintaan supaya dia membacakan aku sesuatu kerana aku mahu mendengar
dia bercakap. Perihal agama atau apa sahaja aku tidak kisah kerana yang penting
aku dapat menjamu pendengaran dengan suaranya.
“Ya aku
dengar dengan teliti ni,” tegasku sungguh-sungguh untuk meyakinkan dia
meneruskan pembacaan seperti yang kulakukan minggu lepas semasa dia membacakan
aku terjemahan surah Maryam. Katanya dia memilih surah itu kerana ia hampir
sama dengan nama aku. Maryam dan Maria adalah nama yang membawa maksud sama.
Walaupun
terlukis riak tidak yakin di wajahnya, Mr Salvatore menyambung,
“Kota Ashrasy
Ya’abad, Kota Jenin, Palestin. Di sana sebuah sejarah perjuangan terakam.
Pertempuran antara sepuluh orang mujahidin pimpinan Sheikh Izzuddin dengan
ratusan tentera Inggeris yang bersenjata moden lengkap bersama pesawat
penggempur. Sheikh Izzudin memerintahkan pasukannya memilih mati syahid
daripada berundur apabila mereka dikepung. Akhirnya mereka dikurniakan kematian
syahid, kematian yang dimuliakan,yang menjadi cita-cita seorang mujahid.”
“Mujahid.
Pejuang yang berjuang pada jalan agama kau. Pejuang Islam bukan?”
Soalanku
dibalas dengan anggukan Mr Salvatore. Dia senyum.
“Sayang aku
pandai rupanya,” komen dia yang nampak berpuas hati.
Mr
Salvatore tidak tahu yang aku sudah mengkhatam buku Pahlawan Bumi Anbia- Cerita
Duka Palestin itu sebelum dia menceritakan kepada aku. Malah naskhah Al-Quran
terjemahan yang dihadiahkannya kepadaku juga hanya berbaki kurang dari sepuluh
surah lagi untuk dihabiskan. Sudah kuhafal semuanya dalam otakku sepertimana
aku menghafal buku-buku perubatan yang tebal. Jika dibandingkan dengan mengingati
fakta-fakta perubatan, untuk mengingati semua itu ternyata jauh lebih mudah.
Seperti
yang kukatakan tadi, aku bukan meminta Mr Salvatore mengulangi membaca buku itu
untuk aku kerana aku mahu memantapkan lagi ingatan tentangnya tetapi kerana aku
suka mendengar tutur kata dia apabila dia bersuara.
“Kau juga
bercita-cita untuk menjadi mujahid bukan?”
“Setiap
orang Islam patut bercita-cita untuk menjadi mujahid. Dan menjadi cita-cita
seorang mujahid untuk syahid. Kematian mulia yang menjemputnya menemui
Tuhannya.”
Aku
tergamam apabila Mr Salvatore membelah keasyikan aku mendengar suaranya dengan
kata-kata sebegitu. Tidak pernah aku melihat lelaki ini begitu bersemangat.
Father Mesiah di St. Mary Cathedral yang selalu aku kunjungi setiap hari Ahad
untuk mendengar kuliah agama juga tidak bersemangat seperti Mr Salvatore ketika
dia membicarakan pasal kitab Bible.
“Tapi kau
akan mati. Mujahid-mujahid yang lain juga sama. Sekalipun kau tidak takut mati,
aku takut untuk kau, aku tak mahu kehilangan kau.”
Aku menggenggam kuat lengan
bajunya sambil menatapnya dengan pandangan yang dibundarkan. Sungguh aku tidak
dapat membayangkan hidup aku tanpa Mr Salvatore di sisi.
Mr
Salvatore merungkaikan genggamanku lantas menggantikan lengan bajunya dengan
buku untuk aku pegang. Dia menatap aku. Pandangannya tajam menikam tetapi bukan
kerana kebencian atau rasa marah. Ketajaman itu lahir dari semangat yang luar
biasa.
Dengan mata
bersinar dia mengatakan sesuatu. Kata-kata yang bakal kuingati sampai bila-bila
kerana dari banyak kata-katanya yang aku suka dengar, ini adalah yang paling
mengusik jiwa.
“Anna, kematian pada jalan Islam bukanlah kematian yang sia-sia.
Mereka yang syahid nda mati sekalipun kau anggap begitu, bahkan mereka hidup
di sisi Tuhan mereka. Kau mo tau di mana?”
Pantas aku
mengangguk. Dia menjawabnya sambil tersenyum seolah-olah dia sudah dapat
melihat secebis dari keindahan di tempat yang disebutnya.
“Di syurga yang kekal
selama-lamanya.”
Aku mati
bicara apabila dia menepis kata-kataku dengan jawapan itu. Apa lagi yang boleh
kukatakan untuk menghalang Mr Salvatore dari menanam cita-cita untuk menjadi
seorang mujahid. Kerana menghalangnya beerti aku menghalangnya dari bertemu
Tuhannya. Menyuruh dia membatalkan hasrat itu bermakna aku memaut kejap kakinya
untuk menghentikan dia dari terus berjalan ketika dia sudah selangkah dari
pintu syurga.
“Kau nda
perlu buat muka sedih begini sayang. Banyak lagi cara untuk berjuang pada jalan
Islam selain dari bertempur dengan musuh Islam lalu mati. Banyak lagi jalan
untuk syahid selain dari berperang.” Dia cuba menenangkan hati aku sebaik
terlihat wajahku yang sudah digayuti mendung.
“Tapi di
akhirnya tetap sama. Kau akan mati juga. Yang berbeza itu cuma caranya saja,”
protesku dengan wajah yang tidak mampu diceriakan lagi.
“Semua orang
yang telah merasai hidup akan merasai mati, Anna.Kau nda akan menghalang aku
dari dijemput menemui Tuhanku di dalam syurga-Nya kan sayang?”
Mr Salvatore
memberikan soalan yang tidak membenarkan aku memilih jawapan selain
mengiyakannya. Hatiku enggan membenarkannya namun kepalaku sudah
terangguk-angguk bersetuju. Dia menyentuh daguku dalam usaha untuk memaksa aku
mengangkat mukaku lalu memandangnya.
“Aku mau
menyentuh kau begini dengan rasa tidak berdosa. Dengan rasa gembira bukan rasa
bersalah. Mendapat pahala dan bukan kutukan Tuhan. Jadi yang halal buat aku
Anna?”
Jantung aku
bukan lagi berdegup tetapi sudah berdentum kencang ketika itu. Debaran di hati
sudah tidak mampu aku kawal. Buku di tangan tiba-tiba terlepas dari pegangan.
Bunyi buku itu jatuh menyedarkan aku bahawa aku tidak bermimpi dan tidak juga
berada dalam dunia khayalan. Mr Salvatore benar-benar serius memaksudkannya dan
aku juga benar-benar mahu dia tahu bahawa aku sudah menunggu saat ini seumur
hidupku. Hampir saja aku bersetuju kalau sesuatu tidak terlintas di fikiran
tiba-tiba.
Kata Mr
Salvatore, lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Kalau dia tahu aku
bukan perempuan yang baik, bolehkah dia mengulangi lamarannya dengan sebegini
yakin? Perempuan yang baik adalah perempuan dari keturunan yang baik-baik dan
yang baik pegangan agamanya. Tetapi aku tidak punya semua itu. Aku tidak ada keluarga.
Agama kami berbeza. Dan lebih teruk, aku tidak tahu pun siapa ibu bapa aku yang
sebenar. Mungkin namaku,Anna Maria juga diberi oleh paderi yang menjumpai aku
dalam dukungan patung Holy Mary di gereja.
Apa yang
boleh meyakinkan Mr Salvatore untuk mengambil aku sebagai isterinya langsung
tidak ada. Kosong. Nihil. Kerana sebab inilah aku selalu menyembunyikan perihal
keluargaku dari pengetahuannya. Kerana sebab inilah Mr Salvatore merungut aku
terlalu berahsia. Tetapi apa yang boleh kubuat selain berahsia? Aku tidak mampu
memberitahunya bahawa aku anak yatim, anak pungut yang dibaptiskan oleh paderi
yang menjumpaiku lalu dibesarkan di rumah anak-anak yatim yang dibiayai dengan
wang sumbangan gereja.
Aku tidak
boleh membenarkan dia tahu yang aku tidak punya siapa-siapa untuk menerima
rombongan peminangan darinya. Ego aku tidak membenarkan aku berbuat begitu. Dia
akan hilang hormat pada aku nanti seandainya identiti sebenar aku terbongkar.
Perempuan yang tidak tahu dari mana asal usulnya, yang tidak punya siapa-siapa
selain sebaris nama yang itupun diberi atas dasar kasihan, perempuan seperti
itu tidak layak untuk dikategorikan perempuan yang baik.
Disebabkan
itu aku amat takut untuk berdepan risiko kehilangan Mr Salvatore seandainya dia
tahu hal yang sebenar. Dari menanggung risiko tersebut, aku lebih rela mengunci
mulut dan berahsia jika hanya dengan cara ini aku boleh berada di sampingnya selama-lamanya.
“Can we
just go grab something to eat? I’m starving,” ujarku menukar terus topik
perbualan.
Tetapi perhatian Mr Salvatore tidak terkalih. Dia masih memerhati
aku menunggu jawapan. Buku di lantai kukutip lantas aku letakkan dalam
pegangannya. Aku enggan menatap riak kehampaan di wajahnya lebih lama.
“Let’s go.
Shall we?” aku menarik tangannya.
Memaksa dia berdiri walaupun jelas dia tidak
mahu berganjak selagi belum mendapat jawapan yang dimahukan. Akhirnya dia
menurut langkah kakiku. Berjalan dengan separuh hati. Sinar di matanya tadi
langsung mati. Betapa berat hatinya ketika ini tidak dapat dibandingkan dengan
hati aku yang lebih berat kerana terpaksa menyakiti lelaki yang paling aku
cinta serta membohongi kemahuan hati sendiri.
Maaflah Mr Salvatore, biarpun terpaksa
menyakiti kau begini berkali-kali, biar terpaksa menghiris hati sendiri
berkali-kali, aku akan melakukannya jika ini yang harus aku buat demi
memastikan kau terus mencintai aku.Demi memastikan aku dibenarkan terus berada
di samping kau. Biarpun hanya untuk seminit lebih lama.
May Peace Be Upon Us.
Live,Laugh,Die Emotionally!
No comments:
Post a Comment