Bunyi
adalah gelombang yang terhasil dari getaran. Partikelnya bergerak melalui
udara. Teori fizik mengatakan bunyi tidak boleh didengari dalam tempat yang
tidak ada udara. Vakum. Contohnya di angkasa lepas. Di luar angkasa sana,
sekalipun sebuah kapal angkasa sebesar Bumi meletup, tiada segaris bunyi pun
yang akan kau dengar walau kau berada di sebelahnya. Semuanya adalah sunyi. Sepi.
Sebeku langit angkasa yang hitam dan gelap.
Ada satu
teori fizik juga menyebut bahawa dalam berjuta bunyi yang terhasil, yang ada
antaranya kau tidak sempat dengar atau tahu, cuma ada satu bunyi yang
getarannya akan sampai ke hati kau melalui telinga. Ianya adalah berbeza bagi
setiap orang. Mungkin bunyi itu adalah bunyi muzik, mungkin juga bunyi
cengkerik atau mungkin bunyi suara orang yang kau cinta.
Ada antara ahli fizik
yang sanggup menghabiskan hayatnya mencari bunyi yang menggetarkan hati itu. Kenapa?
Kerana bunyi yang menggetarkan hati adalah bunyi yang paling sempurna.
Gelombang terindah yang pernah terhasil. Bunyi yang tidak akan kau lupa sampai
bila-bila. Ianya adalah getaran yang menerbitkan suatu rasa aneh di jiwa. Rasa cinta.
Perasaan
aneh itu kini dirasai oleh seorang lelaki di pawagam. Puncanya dari ketawa
galak seorang perempuan yang duduk selang beberapa baris dari dia. Lelaki itu
tadi nyaris mahu menguatkan kapasiti nada DrBeats Ipod III yang dibawa bersama
tetapi terus mematikan lagu grunge yang
sedang dimainkan sebaik terdengar suatu bunyi. Ya, bunyi ketawa. Ia adalah
bunyi yang menggetarkan hatinya. Dia telah menjumpai bunyi paling sempurna itu
tanpa disedari.
Filem ngeri
yang ditayangkan di skrin besar hadapan dia kini tidak lagi menimbulkan rasa
tidak senang padanya. Bunyi jeritan mangsa yang dibunuh alien dalam filem itu
tidak lagi menerjah gegendang telinganya. Lama dia terpaku cuba mengecam
pemilik suara ketawa itu. Teman wanitanya, Felicia yang berada di sebelah tidak
dipedulikan lagi padahal kerana perempuan berbangsa Inggeris itu dia ke sini
tadi. Dia tahu teman wanitanya itu mudah berasa takut dan terkejut jadi dia
membawanya menonton filem ngeri. Rancangan tersembunyi dia adalah untuk
menikmati pelukan percuma dari teman wanitanya itu sepanjang sesi tayangan
berlangsung. Kalau lebih bernasib baik, mungkin juga dia akan dihadiahkan
kucupan luar sedar.
Ya, semua ini baginya begitu mudah. Macam
makan kacang.Kupas kulit terus makan.Tidak perlu fikir banyak. Sudah banyak
pengalamannya dengan perempuan. Teman wanitanya ditukar macam dia tukar baju.
Lagipun dia anak orang berada, apa yang dia mahu petik jari saja dia boleh
dapat. Perempuan baginya spesies yang senang dipujuk, yang senang dibeli jiwa
mereka. Hulurkan saja lambakan not berharga dalam dompetnya, atau puluhan kad
kredit yang tersusun kemas atau dia hanya perlu menayangkan kereta sport buatan
luar negeri miliknya kepada mereka. Selepas itu, pasti mereka tidak mahu
berenggang lagi dengan dia.
“Oh my
God!”
Felicia terjerit ketakutan apabila satu adegan alien makan manusia muncul
di skrin besar. Dia memeluk teman lelakinya yang tanpa disedari sudah terpaku
seperti patung di tempat duduk.
“Oh, I
can’t see this Jimmy! It’s so horrible,” sambung Felicia dengan suara manjanya
yang sengaja dilunakkan lagi.
Lelaki yang dipanggil Jimmy tadi seakan terpukau.
Dia tidak mendengar suara Felicia kesayangannya atau jeritan nyaring dari filem
itu lagi. Telinga dia hanya menangkap bunyi ketawa perempuan yang sedang direnungnya.
Walaupun dalam kesamaran cahaya, dia pasti perempuan itu memakai kebaya warna
hitam merah. Tentu perempuan Melayu, fikirnya. Tetapi dia tidak kisah lagi
Melayu, India, Cina atau apa-apa bangsa sahaja. Kalau alien sekalipun dia tidak
kisah. Yang penting dia mahu menikmati bunyi ketawa perempuan itu. Dia mahu
mendengar bunyi itu sampai bila-bila. Dia mahu menjadikan bunyi itu milik dia
selama-lamanya.
Sepanjang
masa tayangan, dia hanya memerhati perempuan yang pelik itu. Satu-satunya
perempuan yang ketawa di saat semua perempuan lain menjerit ketakutan. Dia
tidak sedar berapa kali Felicia menghadiahkannya dakapan percuma. Dia tidak
berkeinginan langsung untuk membalas dakapan perempuan cantik itu seperti
selalu. Kalau tidak pantang ada peluang pasti dia tidak lupa mengambil
kesempatan yang ada. Tetapi kerana perempuan pelik yang sedang ketawa itu, dia
bagaikan lupa terus pada Felicia.
Dia lupa yang dia pernah menunggu di hadapan
apartmen perempuan itu selama separuh hari semasa mahu memikatnya dahulu. Dia
lupa yang dia pernah berhabis ribuan ringgit untuk membeli bunga semata-mata
mahu mengajak Felicia keluar makan malam.
Tamat saja
filem itu, dia terus menerpa keluar mengekori perempuan tadi. Dia hanya
teringat pada Felicia apabila perempuan itu terkocoh-kocoh mengejarnya. Felicia
menghalang dia dari terus bergerak dengan merangkul tubuhnya. Felicia
melentokkan kepalanya manja di bahu lelaki itu. Jimmy tiba-tiba berasa jengkel
dengan kelakuan manja perempuan yang pernah ditatangnya bagai minyak yang
penuh. Pelukan perempuan itu dirasakan seperti menghantar satu isyarat rimas ke
otaknya. Tiba-tiba dia jadi meluat dengan Felicia. Entah mengapa dia tidak
tahu.
Oleh itu
dia lekas-lekas menghentikan perlakuan manja Felicia lalu memujuk perempuan itu
pulang dahulu menaiki teksi. Sempat dia menghulurkan puluhan keping not RM50
dan beralasan bahawa dia mahu menemui teman lama. Mujur Felicia akur tanpa
banyak soal. Kalau Felicia berkeras, tentu sahaja dia akan meninggalkan
perempuan itu begitu saja kerana dia ada perkara lebih penting sekarang. Dia
harus mengejar perempuan pelik tadi. Wajib. Dia tidak boleh membiarkan
perempuan itu pergi tanpa berjumpanya.
“Tunggu...tunggu
sekejap. Awak, tunggu dulu!”
Jimmy berlari mendapatkan perempuan berkebaya
hitam merah. Perempuan itu terus berjalan bagaikan tidak mendengar jeritannya.
Dia menggunakan seluruh kudrat yang ada untuk berlari lalu mencapai pergelangan
tangan perempuan pelik itu. Serta merta perempuan tersebut menoleh.
Dua pasang
mata bertemu untuk kali pertama. Mata hazel perempuan berkebaya menyapa Jimmy.
Pandangannya lembut walaupun tajam menikam. Pegangan Jimmy terlucut sendiri. Dia
terpegun di situ. Semua ayat-ayat memikat yang dihafal berterbangan lari dari
mindanya.
Kalau tadi bunyi ketawa perempuan ini sekadar
menggetarkan hatinya , kini dia rasa jantungnya telah luruh sama sekali.Kalau
sebelum ini dia akan menggunakan apa saja cara untuk memikat hati perempuan
yang dimahukan, kini dia rasa dia akan melakukan apa sahaja supaya perempuan
berkebaya ini menerima hati miliknya . Dia nekad mahu menyerahkan seluruh hati
kepada perempuan ini.
“Can I help
you, mister?” suara yang menggetarkan hatinya berbunyi.
Jimmy menatap perempuan
itu. Sesaat pun dia enggan membenarkan matanya berkelip. Memang jika hendak
dibandingkan dengan bekas-bekas teman wanitanya sebelum ini, ada antara mereka
yang berkali ganda jauh lebih cantik dari perempuan yang sedang direnungnya.
Tetapi perempuan berkebaya ini mempunyai daya pesonanya yang tersendiri.
Perempuan ini boleh membuatkan dia terpegun tanpa perlu kecantikan melampau.
Dia ada daya tarikan unik dan kecantikan tersendiri.
“Yes you
can.”
Dia terus merenung wajah perempuan yang hampir membuatkan jantungnya
berhenti berdegup.
“What can I
do for you?”
Mata perempuan itu memandang Jimmy ingin tahu. Pandangannya tenang
tetapi penuh aura hidup. Tidak seperti pandangan wanita-wanita lain yang pernah
dilihatnya. Pandangan mereka nampak kaku, nampak mati walaupun mereka hidup
tetapi perempuan ini benar-benar hidup. Kehadirannya memberikan perasaan luar
biasa kepada Jimmy. Seperti dia dilahirkan semula hari itu. Mati hidup kembali
rupanya bukan sekadar falsafah kosong atau dongengan sastera. Jimmy yakin itu
sekarang kerana dia telah merasainya.
“Take my
heart and be with me. Forever.”
Dari beratus-ratus permintaan yang dibuat
kepada perempuan untuk dijadikan teman wanita, permintaan kali ini betul-betul
datang dari hatinya.
“You are
not on drugs, are you?” perempuan itu ketawa kecil.
Jimmy mengakui dia memang
telah khayal tetapi bukan kerana dadah sebaliknya kerana bunyi tawa itu.
“Be my
girlfriend, will you?”
“You are
not drunk, are you?” Ketawanya kini bertukar kepada senyuman.
Ya, Jimmy akui
dia memang mabuk tetapi bukan kerana alkohol. Senyuman itu yang menyebabkan dia
mabuk.
“No. I’m
fully conscious. And I am deadly serious about what I just said.”
Perempuan
itu masih tersenyum. Kemudian lambat-lambat dia menggeleng.
“I’m sorry but I
already have a boyfriend.”
Mendengar
jawapan itu, Jimmy rasa jantung dia telah pecah walaupun darah di dalam
tubuhnya masih mengalir. Tiba-tiba semua wang yang dia ada, puluhan kad kredit
yang dia punya dan kereta paling mahal yang dibeli serasanya sudah tidak ada
maknanya. Dan sekalipun dihimpunkan seluruh wanita di dunia, Jimmy pasti tiada
yang mampu menggembirakannya lagi.
May Peace Be Upon Us.
Live,Laugh,Die Emotionally!
1 comment:
sila sambung.
Post a Comment