Kertas-kertas
bersepah di atas meja yang kami duduki. Mr Salvatore meneliti lukisan pelan
yang berada di tangan. Sesekali dia membetulkan perkara yang dirasakan tidak
kena di atas lukisan itu. Aku pula menghadap buku-buku tebal yang bersusun membukit
di hadapanku. Pharmacology, Taber’s Medicines Dictionary, Anatomy and Human
Physiology dan Basic Surgeries memenuhi
ruang fikiran.
“Bila lihat
kau begini, baru nampak kau macam bakal doktor,” komen Mr Salvatore sekaligus menghentikan
pembacaanku. Aku mengangkat muka. Dia sedang memerhatikanku dengan khusyuk.
Entah sejak bila dia menggantikan pelan dengan wajahku untuk diteliti.
“Kalau
begini?”soalku seraya menanggalkan cermin mata dan menyisihkan buku ke tepi.
“Kalau
begini, Anna sahaja tanpa doktor di depan nama kau,” ulasnya kemudian tersenyum
sendiri.Aku tidak ikut senyum.Sekadar memandang dia dengan muka berkerut.
Seakan tahu yang aku tidak puas hati dengan kenyataan itu,dia menambah untuk
menyedapkan hati aku. “Tapi doktor yang nda kelihatan macam doktor adalah
sesuatu yang bagus.”
“Apa yang
bagus?”tanyaku bukan kerana ingin tahu namun sekadar menduga.
“Nda (tak) ada
pesakit lari bila nampak kau.” Dia ketawa kecil di hujung kata-katanya. Lelaki
ini sengaja mahu mencetuskan rasa kemarahan aku.
“Aku kasi
kau satu teka teki yang kau nda boleh jawab.Mau?” Mr Salvatore melarikan topik
perbualan ke arah lain apabila nampak mukaku semakin mencuka. Selalu sahaja aku
terlupa bahawa Mr Salvatore aku memang bijak membaca situasi dan tahu apa yang
perlu dilakukan bagi memaniskan semula keadaan.
“Apa?” Aku
tidak sabar untuk tahu. Keterujaan yang terpancar di wajahku membuatkan Mr
Salvatore menyampaikan teka teki itu kepada aku dengan senyuman.
“Berikan
nama untuk air nenas campur air milo lepas tu campur air kelapa.”
Mr
Salvatore memerhati gelagat aku yang sibuk mengerah otak mencari jawapan. Dia
pandang aku.Aku pandang dia balik.Lama kami berkeadaan begitu sehingga akhirnya
aku geleng kepala tanda menyerah kalah. Mr Salvatore hanya menunggu aku angkat
bendera putih sebelum dia melebarkan senyum kemenangan.
“Air
apa?”desakku mahu jawapan.
“Neelofa.”Mr
Salvatore ketawa seorang diri.Tetapi tidak lama.Dia berhenti selepas mendapati
aku sedang merenungnya dengan serius.
“Nda lucu?”
soalnya ingin kepastian. Atau mungkin dia rasa bersalah kerana tertawa seorang
diri.Aku angguk. Sebenarnya aku sedang menahan tawa dari terburai.Bagi
meredakan rasa lucu yang menggeletek hati,aku capai botol air mineral.Lantas
meneguknya sekali. Pada tegukan kali kedua, aku mengerling sekilas ke arah Mr
Salvatore dan satu idea untuk mengusiknya tiba-tiba muncul.
“Mari kita
main satu permainan buat ayat yang pelik. Kau nak main?”
“Why
not...so how do we play it?”
Aku pandang
Mr Salvatore dengan riak muka tenang walaupun dalam hati aku benar-benar mahu
tersengih besar. “Kita gantikan perkataan ‘air’ dengan ‘api’.Peraturannya cuma
satu iaitu kita tak boleh ulang balik ayat yang orang lain dah buat. Kau mahu aku
mula dulu?”
Mr
Salvatore menjawab sepatah, “Okay.”
“Aku sedang
pegang botol api.”Aku menunjukkan botol air di tangan kepadanya. Dia ketawa.
“Bidak
(teruk)betul bunyinya.” Dia memberi ulasan mengenai ayatku dalam senyuman.
“Giliran
kau pula.” Botol air di tangan kusuakan kepada Mr Salvatore.Seperti yang
kuharapkan, dia terus mengambilnya. Kemudian membelek botol air itu
seketika.Berfikir akan ayat apa yang boleh dibina menggunakannya.
“Botol...”
“Kau tak
boleh ulang ayat aku. Itu peraturannya,” cepat-cepat aku memotong kata-kata Mr Salvatore sekaligus
mengingatkannya akan peraturan. Dia tidak jadi menyempurnakan ayat tadi
sebaliknya membuka penutup botol lalu meneguk air.
“Sejuk?Sedap?”soalku
sebelum dia membuka mulut.
“Api ini
sangat sejuk dan sedap.” Dia pandang aku, “Boleh terima ayat tu?”
Aku angguk
lalu ketawa besar. Aku sudah tidak mampu untuk menahan tawa lagi sebaik
mendengar ayatnya. Dia ikut ketawa. Aku tidak tahu sebab dia ketawa tapi aku
tahu sebab aku ketawa.Dan aku mahu dia juga tahu.
“Kau tengah
praktis?” tanyaku dalam sisa tawa.
“Praktis
apa?” Dia tanya aku kembali. Wajah bingung lelaki ini membuatkan perasaan ingin
ketawa aku memuncak tinggi.
“Praktis
untuk ke sana nanti.” Maksud kata-kataku tidak dapat dicerna oleh Mr Salvatore.
Dia tidak faham kerana itu dia masih memerhatikan aku dengan tenang.
“Ke
sana...selepas mati...” aku menambah supaya Mr Salvatore dapat gambaran jelas
apa yang cuba kusampaikan.
Dia memandangku dengan rasa tidak percaya. Mungkin
ada sedikit geram dalam pandangannya.Marah. Rasanya kalau boleh mahu sahaja dia
mencekikku ketika itu. Aku membatalkan hasrat untuk menyambung tawa apabila Mr
Salvatore bangun dari kerusi. Spontan aku turut berdiri.
“Kau mau
rasa api yang sejuk ni?” Nadanya berbunyi seperti mengugut. Botol air
ditayangkan di hadapanku. Aku telan air liur. Bukan kerana takut tapi cuba
mengalihkan rasa lucu yang ada. Kalau aku ketawa sekarang, pasti aku akan basah
sebelum sempat berbuat apa-apa. Jadi jalan keluar terbaik adalah melarikan
diri.
“Mengapa
kau lari sayang? Marilah kita sama-sama rasa api yang sejuk ni.” Mr Salvatore
memanggil aku yang sudah menjauh. Aku geleng kepala tanda tidak mahu kembali ke
tempat duduk.
“Marilah...kau
cakap kau sayang sama aku kan?”soalnya mahu memerangkap. Aku tidak akan tertipu
dengan helah begini. Mr Salvatore tahu itu. Dan sebab dia tahu maka dia tidak
lagi cuba menggula-gulakan aku dengan kata-kata. Dari mengumpan aku datang
kepadanya dia yang melajukan langkah ke arah aku.
Tidak perlu tunggu lama untuk
berfikir, aku buka langkah seribu. Satu-satunya tempat yang mahu aku tuju
sekarang adalah lif. Aku berlari sekuat hati. Aku ketawa sekuat hati.Tidak
peduli dengan pandangan orang ramai di KSL Plaza itu. Bunyi ketawaku bagai
membakar semangat Mr Salvatore atau mungkin egonya kerana sebaik mendengar aku
ketawa dia tidak mengacah seperti tadi, dia sungguh-sungguh mengejarku.
Dan aku
sungguh-sungguh berlari. Mr Salvatore menghulurkan tangan mahu menggapai aku.
Belum sempat dia menyentuh bajuku,aku sudah selamat masuk dalam kotak lif. Aku
melambai tangan kepadanya sebagai isyarat bahawa dia tidak akan berjaya
mendapatkan aku. Tetapi Mr Salvatore tidak mahu mengalah sebegitu mudah. Aku
nampak dia berlari menuruni eskalator sebelum pintu lif tertutup rapat. Dari
tingkat paling atas yang kami berada tadi, aku turun ke tingkat paling bawah. Tingkat
terakhir sebelum sampai tempat parkir.
Aku
menjangkakan terpaksa menunggu lama untuk lihat bayang Mr Salvatore tetapi
ketika aku melangkah keluar dari lif, dia sudahpun berada kurang dua meter dari
aku. Melihat aku terkejut macam nampak hantu, dia tersenyum kemenangan. Berpuas
hati walaupun sedikit termengah-mengah akibat berlari. Lelaki ini, berapa laju
dia boleh lari?
“I got
you.” Dia menunjukkan botol air di tangan. Aku menarik balik kaki yang mahu
melangkah ke arahnya. Perlahan-lahan kakiku mengundur ke belakang.
“Hey, this
isn’t fair sayang. Sayang?” Dia nampak tidak puas hati kerana aku sudah masuk
semula ke dalam lif dan sekali lagi bersedia untuk menekan butang. Aku geleng
kepala tanda tidak peduli sama ada ianya adil atau tidak.
“Aku cuma
bergurau bha sayang. Kau tahu aku nda akan...” kata-kata Mr Salvatore terhenti
di situ kerana pintu lif sudah tertutup.
Dia tidak bergerak atau berlari
mengejar eskalator lagi.Dia berhenti di depan lif. Aku tidak berhasrat untuk ke
atas semula.Aku biarkan pintu lif tertutup kemudian menekan butang untuk
membukanya. Mr Salvatore sedikit terkejut melihat aku. Mungkin dia tidak
menyangka aku akan berada di hadapannya untuk menyerah kalah.
“I’m just
kidding too. You know I won’t leave you, don’t you?” Aku membiarkan dia
terperangkap dalam renunganku. Ketika dia kelihatan tergamam dan tidak tahu apa
yang harus dikatakan, aku menapak keluar dari lif lalu memeluknya.
“Why?”soalnya
namun aku tidak pasti apa jawapan yang dimahukan.
“Simply
because I love you,” balasku setelah yakin itu jawapan terbaik untuk apa jua
situasi. Botol air dalam pegangannya kutarik perlahan.
“I love you
too,” ucapnya sungguh sungguh. Aku
angguk. Botol air tadi kucampak dalam tong sampah di tepi kami.
No comments:
Post a Comment