Something To Think About.

There is no girl alike me. And there is no boy that like me. ; )






Monday, March 25, 2013

Kepada Saudara Perempuanku (Surat 3.1)


Ini untuk semua perempuan di luar sana...Sepertimana juga surat-surat aku yang lain sebelum ini.Mohon jangan ada yang terasa...

 
INI TENTANG TUHAN, SYURGA DAN NERAKA.


Menemui saudara perempuanku,

Tidak seperti surat-surat sebelum ini, surat terakhir ini adalah yang paling sukar untuk dicoretkan tiap baris kata-katanya. Perumpamaannya adalah seperti mata penselku patah setiap kali aku larikkan sepatah kata, lalu memaksaku untuk mengasahnya terus menerus kerana perkataan yang aku ingin sampaikan teramat banyak. Bayangkan jika aku terpaksa mengasahnya setiap kali selepas menulis hanya sepatah kata, maka boleh kau bilang berapa kali aku memegang pengasah pensel sepanjang surat ini dikarang? Tidak perlu bersusah payah kerana aku tidak menggunakan pensel tetapi menaip sahaja di papan kekunci komputer. Hahahaha....oh ya tetapi serius bha, aku mengambil masa yang paling lama untuk surat ini jadi aku harap kau juga mengambil masa kau untuk membaca lalu menghadamkannya.

Mungkin kerana ini adalah surat terakhir, maka jari jemariku keberatan untuk berlari pantas di atas papan kekunci bagi menerbitkan patah-patah huruf. Lebih dari itu, aku rasa sebab utamanya adalah kerana aku mahu membicarakan perihal Tuhan yang Maha Agung kepada kau, jadi aku terasa sangat jahil dan kerdil tiba-tiba. Memikirkan kehebatanNya, aku rasa semua kata-kata dan idea aku umpama buih-buih di lautan yang akan menghilang tanpa kesan. Bukankah di dalam Kitab yang penuh hikmah, al-Quran telah tercatit bahawa seandainya seluruh lautan di dunia ini, diambil airnya lalu dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Tuhan, maka pasti akan keringlah semuanya. Dan sekalipun ditambah lagi dengan jumlah air sebanyak itu juga, ianya masih tidak mencukupi. Dengan kata-kata itu sahaja, kita sudah dapat sedikit gambaran tentang betapa luas dan menyeluruh ilmu yang al-Rahman miliki. Masakan tidak, jika Dialah pemilik kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya.

Saudara perempuanku yang adakalanya terlintas di fikiran,

Dalam surat sebelum ini, mungkin kau tidak berpuas hati kerana aku sering mengulangi agar jangan kau meninggi diri dan merasakan diri kau lagi hebat dari lelaki. Mungkin kau juga mahu melaungkan slogan wanita-wanita hijabista moden sekarang, “Apa lelaki boleh buat, kita pun boleh. Berhijab tak semestinya terkongkong! Yeayyy...!” Okay, aku mengaku yeayyy itu tak ada, sengaja aku tambah sendiri. Mungkin kau mahu berhijab, lilit sana sini sampai dah tak menyerupai manusia (ada iras-iras pocong). Janganlah kau mengawalkan kejadian yang sepatutnya belum masanya terjadi lagi (maksud aku kematian). Bila mati nanti, orang akan lilit kau sana sini juga, ikut step one by one, and lastly, taraaa... kau pun siap dikafankan. Tetapi tidak ada halangan bagi aku kalau kau mahu mencubanya sambil mengingati kematian pada setiap ikatan shawl dan pashmina yang kau lilitkan. Syabass beddey!

Sebagai perempuan, kita selalu bermegah-megah dengan gaya rambut, gaya ikatan shawl warna warni, gaya pakaian color block, kasut beratus pasang (heels, wedges, stiletto, flat dan seribu satu nama lagi), aksesori bermacam jenis, mekap berlapis-lapis, selca(self camera), camwhore(camera whore), update status cintan 25 jam di Facebook(sampai Mark Zuckergberg pun naik meluat), kalau tak update status cintan, kau update status agama mengalahkan ustazah lulusan universiti Mesir, post gambar beribu keping (tak kiralah gambar berpurdah, atau gambar kau comolot[cium mulut] dengan pakwe kau yang penting kau rasa wajibalghunnah untuk kau masukkan gambar), lagi kau mengata mengutuk mencaci orang sana sini berselindung di sebalik mesej keagamaan, sikap iri hati terhadap perempuan lain, dan lain-lain lagi perkara yang kau buat (kau senaraikan sendiri). Dengan berbuat semua yang telah disebutkan, kita selalu rasa yang kitalah paling hebat, paling cantik, paling bergaya dengan gelang emas (walhal emas celup Korea saja) melilit di merata bahagian dan paling up-to-date mengenai dunia fesyen terkini.

Tidak, aku tidak berniat untuk mengutuk kau atau menasihatkan kau untuk berubah lalu duduk bertafakur di Gunung Ledang dan beribadat 25 jam. Cuma aku ingin memberitahu satu perkara, apapun yang kita lakukan, apapun yang kau punya, janganlah kau terlalu berbangga, menyombong diri, atau bermegah-megah. Kerana sudah al-Rahman katakan di dalam kitab yang diturunkanNya bahawasanya kau tidak akan dapat menembusi langit atau gunung-ganang tidak kira betapa banyak kesombongan dan kemegahan kau. Maksud aku dengan tidak beranggapan diri kita lebih hebat, lebih baik dan lebih diperlukan dari lelaki adalah untuk menyuruh kau mengingati semula siapakah golongan yang lebih ramai dalam neraka kelak.

Sabar adalah perkara yang paling sukar untuk kita praktikkan dalam kehidupan harian kerana emosi kita yang sering terganggu selain terlalu sensitif. Namun di sini ingin aku mengingatkan kau selalu supaya bersabar, tidak terlalu banyak mengumpat cela orang, tidak terlalu bermegah dengan apa yang kau miliki, dan jangan meninggikan suara kerana api kemarahan yang sentiasa membakar dalam diri kita (kalaulah kau mengerti bahawa sabar itu sesungguhnya lebih baik).


Jadilah perhiasan yang sebenar-benar perhiasan.



Saudara perempuanku yang terkadang kukasihani,

Pegang kata-kata aku ini:

 Beratilah aurat (purdah) hatimu sebelum kau memberati aurat (purdah) dirimu. 

Janganlah kau salah faham maksud kata-kata aku. Janganlah kau terlalu menonjolkan kebebalan kita di hadapan lelaki di sini walaupun mereka sedia maklum kita hanya dikurniakan 1 akal sahaja. Apa yang cuba kukatakan sebenarnya adalah jangan berpura-pura berkelakuan seperti malaikat padahal hati kau masih lagi berbentuk syaitan. Jangan sekadar menampakkan diri kau suci di mata umum padahal hati dan jiwa kau masih lagi menyundal seperti ‘kupu-kupu malam’ di lorong gelap. 

Zaman sekarang, purdah bukan lagi satu jaminan kau perempuan yang baik-baik serta calon bidadari syurga walaupun lelaki seringkali tertipu dengan rupa luaran sebegini. Zaman sekarang, mendiami sekolah pondok atau sekolah aliran keagamaan bukan lagi jaminan untuk hati kau juga berpurdah seperti tubuh kau. Zaman sekarang, kelakuan sumbang dan perilaku buruk kebanyakannya dilakukan oleh perempuan yang hanya memberati aurat tubuhnya dan bukan hatinya. Kerana itu kata-kata seperti “Harapkan tudung saja labuh tapi perangai macam iblis betina!” dan “ Harapkan pelajaran agama saja tinggi tapi kelakuan macam orang tak kenal alif, ba, ta!” meniti begitu mudah di bibir masyarakat.Bagi kita, kaum perempuan, aurat hati dan mulut sememangnya seribu kali lebih payah untuk dijaga dari aurat tubuh. 

Hati yang cepat saja termakan hasutan syaitan untuk berhasad dengki, iri hati, bermegah diri dan mulut yang bergerak seiring dengannya untuk mengumpat caci, menfitnah keji serta mengadu domba. Alangkah baiknya kalau kau boleh mendidik hati dan nafsu kau yang sembilan dari sekadar mendidik diri berpakaian sopan. Kerana ini juga, aku tidak lagi menilai kaum kita dari caranya berpakaian sekarang biarpun banyak yang masih berprasangka positif terhadap mereka yang berpakaian muslimah sejati. Bagi aku cara kau menghias diri tidak menggambarkan cara kau menghias hati. Benarlah pepatah Inggeris yang mengatakan, “Don’t judge a book by its cover.”

Perempuan adalah perhiasan di dunia. Tanpa perhiasan, dunia ini kelihatan gelap, hodoh lagi jelek di mata lelaki. Aku pasti kau selalu mendengar ayat ini diulang-ulang tetapi dengarkanlah aku mengulanginya sekali lagi dan kali ini, fahamilah baik-baik . “Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”. Di dunia yang sungguh liberal, moden dan sentiasa bergerak laju, mencari perhiasan yang benar-benar indah adalah umpama mencari permata di lombong bijih timah. Ianya bukan lagi sekadar sulit tetapi memang mustahil. Tujuan aku mengatakan ini bukanlah untuk mengajak kau berusaha ke arah memperbaiki diri ke arah wanita solehah. Bukan, bukan, bukan. Kerana sudah kukatakan di awal surat kita yang pertama, semua ini bukanlah satu nasihat atau ajakan ke arah kebaikan sebaliknya aku hanya mahu berbicara dengan kau dan sekaligus mengingati diri aku sendiri. Aku tidak boleh mengubah kau, aku hanya boleh menyampaikan apa yang mahu aku sampaikan.


 TO be continued....



May Peace Be Upon Us.

Live,Laugh,Die Emotionally!

No comments:

LinkWithin

Sayang Korang Ketat-ketat